
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, susulan peningkatan aduan daripada pengguna, pihaknya mengambil langkah konkrit untuk berjumpa platform e-dagang itu bagi mendalami isu berkenaan.
“Shopee kini dikehendaki memberikan MyCC justifikasi terhadap perlakuannya dan cara isu ini akan ditangani secara dalaman dengan jelas tanpa menjejaskan kepentingan pengguna menjelang akhir Oktober 2022,” katanya dalam kenyataan.
Walaupun ekonomi digital adalah cara memacu pertumbuhan ekonomi, katanya, penting untuk memastikan platform pasaran dalam talian menyediakan persekitaran kondusif kepada pengguna.
“Kami memahami cabaran semasa yang dihadapi pemain industri. Bagaimanapun, ia tidak seharusnya menghalang mereka daripada memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
“Kami akan meneruskan usaha memantau secara dekat tingkah laku mereka (pemain industri) pada masa hadapan dalam menangani isu-isu terkini dan isu persaingan yang berkaitan platform tersebut.”
Menurutnya, MyCC tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana perusahaan yang disyaki melanggar perundangan persaingan.