Boo tawar diri tanding di Iskandar Puteri, jika Kit Siang tetap mahu bersara

Boo tawar diri tanding di Iskandar Puteri, jika Kit Siang tetap mahu bersara

Bagaimanapun, Boo masih berharap Lim mengubah fikiran dan bertanding semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu kerana beliau berpeluang cerah untuk menang.

Dr Boo Cheng Hau (duduk, tengah) berkata, beliau sedia bertanding di Iskandar Puteri.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP Johor, Boo Cheng Hau menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri yang disandang Lim Kit Siang, sekiranya veteran parti itu tidak berhasrat bertanding semula pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya bersedia untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat, dan bersedia menerima pelantikan DAP dan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kawasan Parlimen Iskandar Puteri.

“Dalam keadaan jika Lim tidak ingin bertanding di Iskandar Puteri semula,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Boo masih berharap Lim mengubah fikiran dan bertanding semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu kerana sebagai pemimpin veteran PH, beliau berpeluang cerah untuk menang.

“Semasa saya memegang jawatan pengerusi DAP Johor pada PRU 2013, saya secara peribadi mengalu-alukan Lim bertanding di Parlimen Gelang Patah (sekarang Iskandar Puteri) dan negeri kelahirannya Johor.

“Beliau telah mendatangkan gempar politik di Johor.”

Katanya, gabungan pemimpin veteran seperti Lim, Anwar Ibrahim dan Mat Sabu, dengan semangat serta kewibawaan pemimpin generasi baru dan pertengahan boleh mengubah arus politik serta membawa kejayaan parti itu untuk menawan semula Putrajaya.

“Bagi saya, Lim masih mampu memainkan peranan penting di dalam dan di luar Parlimen, terutamanya selepas keinginan para pemimpin veteran, baik dari PH, Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) ataupun Gerakan Tanah Air (GTA) bertanding semula pada PRU15.

“PH perlu mengekalkan pemimpin veteran dan terus bersaing dengan PN, BN dan GTA bagi naratif terbaik demi memajukan negara ini.”

Mac lalu, Lim mengumumkan persaraannya dalam satu Kongres DAP dengan berkata, beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana PRU atau PRN lagi pada masa depan.

Pemimpin veteran berusia 81 tahun itu menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP sejak 1966 dan merupakan setiausaha agung DAP selama 30 tahun dari 1969.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Melaka (1969-1974), Kota Melaka (1974-1978), Petaling (1978-1982), Kota Melaka (1982-1986), Tanjong (1986-1999), Ipoh Timor (2004-2013) dan Gelang Patah (2013-2018).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.