
Seorang warganet memuat naik tangkap layar harga tiket penerbangn dari Johor ke Kuching dan meminta syarikat penerbangan serta Kementerian Pengangkutan menurunkan harga tiket.
“@airasia, Kementerian Pengangkutan dan semua yang terlibat. Tolong kurangkan harga tiket penerbangan untuk PRU15. RM364 untuk tiket sehala dari Johor ke Kuching?” demikian catatannya di Twitter.
Seorang lagi pengguna Twitter @yusurisan meminta Malaysia Airlines (MAS) dan anak syarikat penerbangan tambang murahnya, Firefly menawarkan harga tiket lebih murah.
Beberapa warganet pula mengadu harga tiket penerbangan melonjak selepas pengumuman tarikh pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengguna Twitter @haaneyss berkata, tiket AirAsia dari Kuching ke Bintulu adalah RM85 sehala semalam, tetapi hari ini melonjak kepada RM235.
Seorang lagi warganet terkejut dengan harga tiket dari Johor ke Kuching melonjak daripada kira-kira RM360 kepada RM730 sehala, susulan ralat yang berlaku pada pertengahan transaksi.
Seorang warganet mengadu tarikh pengundian ditetapkan pada pertengahan bulan, sebelum pekerja menerima gaji mereka.
“Ini kurang bijak, menetapkan tarikh pengundian pada pertengahan bulan. Saya tiada wang untuk balik kampung,” katanya.
Sementara itu, beberapa warganet menyuarakan kebimbangan terhadap tarikh pengundian yang diadakan ketika musim tengkujuh.
Pengguna Twitter, @HdinHafizuddin berkata, 19 Nov adalah ketika angin monsun mula bertiup.
“Hari mengundi di pertengahan Nov. Banjir oh banjir,” kata seorang lagi warganet.
Menurut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang dari November hingga Disember, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berdepan musim tengkujuh dari Disember hingga Januari.
Bagaimanapun, beberapa warganet menyambut baik tarikh pengundian ditetapkan pada Sabtu. PRU14 diadakan pada Rabu, 9 Mei 2018.
“Syukur 19 Nov adalah Sabtu. Saya mengundi di Johor, tetapi menetap di Subang, ia sangat jauh. Saya tidak sanggup menempuh kesesakan jalan raya, nampaknya saya akan menaiki penerbangan untuk pulang,” kata seorang warganet.
Terdahulu, SPR mengumumkan tarikh pengundian untuk PRU15 pada 19 Nov, dengan pengundian awal pada 15 Nov. Hari penamaan calon pula pada 5 Nov ini.
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh berkata, pilihan raya negeri akan diadakan serentak dengan pilihan raya Parlimen di Pahang, Perak dan Perlis, dengan penamaan calon pada 5 Nov dan hari pengundian pada 19 Nov.
Negeri yang ditadbir Pakatan Harapan dan PAS memutuskan untuk mengadakan pilihan raya negeri tahun depan, selepas penggal DUN tamat. Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor baru mengadakan pilihan raya negeri.
Sementara itu, pilihan raya kecil DUN Bugaya di Semporna, Sabah akan diadakan serentak dengan PRU15. Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah dari Warisan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang pada 17 Nov 2020.
Sejumlah 21,173,638 pengundi layak mengundi pada PRU15.