
Menteri Luar Saifuddin Abdullah menyambut ketibaan Azhar dari Seoul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.15 petang dengan ditemani dua adik perempuannya, Fazillah, 35, dan Norul Hanim, 34, serta sepupunya, Noradilawaty Zainol, 44.
Azhar, yang bekerja sebagai operator kilang di Korea Selatan selama lima tahun, kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAF) di Kuantan bagi menjalani rawatan lanjut.
Saifuddin ketika ditemui berkata, Bahagian Konsular, Kementerian Luar menerima makluman daripada Malawakil Seoul bahawa Azhar sedang mendapatkan rawatan di Korea Selatan pada 31 Ogos.
Menurutnya, pihak konsular mengadakan lawatan ada 22 Sept lepas dan susulan itu, Malawakil telah memberikan bantuan sewajarnya kepada Azhar dan ahli keluarganya.
Bantuan yang diberikan termasuk menyelaras urusan dengan pihak hospital, syarikat penerbangan serta pengeluaran sijil kecemasan (EC) bagi membolehkan Azhar pulang ke tanah air.
Saifuddin berkata, kementeriannya akan mencari jalan bagi membantu Azhar melunaskan sejumlah besar kos rawatan melebihi RM280,000 dengan sebahagiannya sudah dilunaskan oleh ahli keluarga dan sumbangan orang ramai.
Katanya, pihak hospital bersetuju baki kos perubatan (anggaran RM126,000) dilunaskan secara ansuran selama 12 bulan.
Beliau menasihatkan warga Malaysia di luar negara untuk mendaftar keberadaan mereka dengan pejabat perwakilan Malaysia yang berhampiran bagi memudahkan bantuan didapatkan dalam sebarang keadaan kecemasan.