
Menurutnya, tambahan tujuh hari akan memberi parti bertanding peluang menemui lebih ramai pengundi, lebih-lebih lagi dengan penambahan enam juta pengundi baharu berbanding PRU14.
“Tempoh berkempen selama 14 hari terlalu singkat,” kata Bersih satu kenyataan.
Katanya, tempoh kempen selama 21 hari juga akan memberi masa mencukupi untuk pengundi di luar negara menghantar kertas undian mereka.
Bersih juga menggesa SPR melanjutkan tarikh akhir untuk pengundi pos luar negara (Kategori 1B) sekurang-kurangnya seminggu lagi, sama seperti Kategori 1C (agensi dan organisasi).
Tarikh tutup untuk permohonan pengundian awal adalah 23 Okt ini bagi rakyat Malaysia menetap di luar negara, 26 Okt untuk agensi dan organisasi serta 2 Nov untuk media, askar, polis dan petugas SPR.
“Memandangkan SPR baru mengumumkan tarikh pengundian, ramai pengundi di luar negara baru sedar mereka perlu memohon untuk mengundi pos,” katanya.
Terdahulu, SPR mengumumkan hari pengundian untuk PRU15 ditetapkan pada 19 Nov, dengan pengundian awal pada 15 Nov dan penamaan calon pada 5 Nov.
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh berkata, seramai 21,173,638 pengundi layak mengundi pada PRU15.