PRU15: SKMM ingatkan jaga adab, suara pandangan di media sosial

PRU15: SKMM ingatkan jaga adab, suara pandangan di media sosial

SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik berkaitan raja, agama dan kaum di media sosial.

SKMM memberi amaran sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi peringatan agar pengguna media sosial sentiasa menjaga kesopanan, bertolak ansur serta tatasusila ketika memberikan pandangan, susulan pengumuman tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hari ini.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu Raja, Agama dan Kaum.

“Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh melaporkan sebarang insiden atau kandungan berundur 3R di media sosial melalui portal aduan SKMM di pautan https://aduan.skmm.gov.my/, dan juga maklumat ataupun berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan tarikh PRU15 yang ditetapkan pada 19 Nov, dengan tarikh pengundian awal pada 15 Nov.

Pada sidang media, pengerusinya Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan 5 Nov sebagai tarikh penamaan calon.

Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas bagi membuka laluan untuk PRU15 diadakan.

PRU15 akan melibatkan pengundian bagi kerusi Parlimen di seluruh negara, dan bagi kerusi DUN di negeri-negeri yang membubarkan DUN, iaitu Perak, Pahang dan Perlis.

Turut diadakan serentak ialah pilihan raya kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah, yang kerusinya kosong setelah wakilnya, Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan, meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang pada 17 Nov 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.