
Perkara itu diumumkan Truss, 47, di luar Downing Street. Peletakan jawatannya selepas hanya 45 hari menjadikan Truss perdana menteri paling singkat memegang jawatan itu dalam sejarah UK.
“Saya menerima jawatan ini pada saat ketakstabilan ekonomi dan antarabangsa yang hebat.
“Keluarga dan perniagaan rata-rata bimbang memikirkan cara menyara diri, perang Putin di Ukraine mengancam keselamatan seluruh benua kita, dan negara ini telah terlalu lama terhalang akibat pertumbuhan ekonomi rendah.
“Saya dilantik Parti Konservatif dengan mandat untuk mengubah semua ini. Bagaimanapun, melihat kepada keadaan, saya akur tidak dapat memenuhi mandat itu,” katanya dengan menambah beliau telah memaklumkan Raja Charles III mengenai peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Konservatif.
Beliau bagaimanapun akan terus menyandang jawatan itu sehingga penggantinya dipilih.
Pemilihan kepimpinan Parti Konservatif akan diselesaikan minggu depan, katanya.
Kepimpinan Truss menggantikan Boris Johnson dibelenggu pelbagai kemelut sejak bajet mini diperkenalkannya bulan lalu yang menjejaskan pasaran sebelum dibatalkan canselor.