
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, walaupun harga tiket penerbangan secara lazimnya akan meningkat mengikut mekanisme harga dinamik, jika terdapat sesuatu peristiwa melibatkan pergerakan orang ramai, Mavcom akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan didapati menaikkan harga tidak mengikut syarat ditetapkan.
“Mengikut mekanisme harga dinamik yang mana-mana syarikat penerbangan dalam dunia tetapkan, lebih awal (tiket) ditempah, ia murah dan lebih dekat dengan satu tarikh atau peristiwa, harga akan menjadi lebih tinggi,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi Taxi4U di Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Wilayah Tengah di sini.
Beliau mengulas dakwaan harga tiket penerbangan naik dua kali ganda susulan pengumuman tarikh hari mengundi bagi PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.
Dalam pada itu, Wee memaklumkan kementeriannya akan menjalankan kajian untuk memperkasakan perkhidmatan teksi dan e-panggilan pada tahun depan dalam usaha menambah baik kawal selia kedua-dua perkhidmatan itu.
Beliau berkata, kajian itu juga akan meneliti solusi untuk menangani perkara dibangkitkan pemain industri teksi dan e-panggilan, seperti perkongsian pasaran dan kaedah penentuan harga tambang adil bagi kedua-dua perkhidmatan itu.
“Kawal selia kedua-dua industri ini penting memandangkan kini lebih daripada 96,000 kenderaan bergiat aktif dalam industri itu, dengan 88,185 kenderaan persendirian dan 7,833 teksi.”
Menurutnya, kajian itu akan diterajui APAD dengan kerjasama Institut Pengangkutan Malaysia.
Sementara itu, Wee berkata APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan sedang menjalankan penguatkuasaan ke atas sebuah syarikat e-panggilan yang didapati masih menjalankan operasi, walaupun lesen syarikat itu telah tamat tempoh.
“Mana-mana syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti e-panggilan tanpa mengikut syarat lesen akan diminta memberi penjelasan…perkara ini dilakukan bagi memastikan perkhidmatan selamat dapat disediakan kepada penumpang,” katanya.