Lelaki maut dihempap kereta ketika curi ekzos

Lelaki maut dihempap kereta ketika curi ekzos

Mangsa berusia 40 tahun itu dihempap bahagian tengah kereta ketika dia bersama rakannya cuba mencuri tabung ekzos kenderaan itu.

Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 4 hingga 6 pagi semalam, ketika mangsa disyaki sedang mencuri tabung ekzos kereta berkenaan bersama rakannya.
SHAH ALAM:
Seorang lelaki maut dihempap kereta setelah alat ‘jack” yang digunakan tergelincir ketika sedang mengeluarkan tabung ekzos kenderaan tersebut di tepi jalan Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku antara pukul 4 hingga 6 pagi ketika mangsa, seorang warga tempatan berusia 40 tahun dan rakannya disyaki sedang mencuri tabung ekzos kereta berkenaan.

“Tiba-tiba alat pengangkat kereta yang digunakan terjatuh menyebabkan mangsa maut dihempap bahagian tengah kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun disyaki rakan mangsa di sekitar kawasan Telok Panglima Garang pada 10.45 pagi semalam.

“Suspek mempunyai tujuh rekod jenayah melibatkan kes curi ekzos dan pecah rumah serta dua rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan suspek dijangka direman hari ini, menurut Ahmad Ridhwan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.