
Beliau berkata, ini menunjukkan sikap sebenar kepimpinan PKR yang tidak prihatin terhadap golongan penjaja.
Katanya, walaupun berbeza parti dengan kerajaan pusat, pentadbiran negeri seharusnya menyokong sebarang usaha demi kepentingan usahawan kecil.
“Saya diberitahu, kerajaan negeri tak benarkan program ini berjalan tetapi tapak program ini ialah tapak swasta dan kita dapat kebenaran dari tuan tanah … jadi mereka tak boleh halang.
“Kita buat untuk kepentingan penjaja dan usahawan di Selangor, bukan untuk berkempen,” katanya ketika berucap merasmikan karnival usahawan dan koperasi peringkat Selangor.
“Kita nak bagi peluang kepada usahawan kecil tetapi mereka tak benarkan. Begitulah sebenarnya sikap mereka terhadap golongan penjaja.”
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.
Sementara itu, mengulas lanjut, Noh berkata tindakan kerajaan pimpinan Amirudin Shari itu bukan mengejutkan kerana sering menimbulkan “masalah” akibat berbeza “haluan” dengan kerajaan pusat.
Tegasnya, sebagai pemimpin politik yang berada dalam pentadbiran kerajaan pusat, beliau maklum kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan untuk berkempen.
“Kerajaan negeri Selangor ni memang macam-macam masalah sebab kalau program pusat dia cuba halang… dia mungkin ingat ini program politik.
“Tetapi ini bukan program politik, ini program kementerian program kerajaan sepatutnya tiada halangan.. tetapi oleh kerana kerajaan negeri dia berbeza dengan pusat sudah tentulah dia cuba halang apa jua program yang kita nak buat,” kata Noh yang juga pengerusi BN Selangor.
Noh bagaimanapun tidak menjelaskan pemimpin dari kerajaan negeri yang dimaksudkan.