Adakah Latiff berjenaka ketika lompat ke Bersatu, soal Puad

Adakah Latiff berjenaka ketika lompat ke Bersatu, soal Puad

Abd Latiff Ahmad semalam berkata, Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob tidak wajar mengeluarkan kenyataan gurau dan sinikal, terutama ketika berucap dalam program politik.

Puad Zarkashi berkata, Bersatu digelar parti katak kerana ramai yang melompat ke sana, termasuk Abd Latiff Ahmad.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno membalas ejekan bekas Ahli Parlimen Bersatu, Abd Latiff Ahmad bahawa parti itu “penuh jenaka” dengan berkata, lebih baik berjenaka daripada melompat ke parti yang mempunyai banyak “katak”.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi turut mempersoalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu sama ada beliau “berjenaka” ketika memutuskan untuk melompat ke Bersatu.

“Bersatu digelar parti katak kerana ramai yang melompat masuk ke dalam Bersatu, termasuk Latiff sendiri.

“Dia jahanam tak apa, jangan rakyat yang jahanam. Dengan rekod 17 bulan di bawah Muhyiddin Yassin, Bersatu mesti ditolak agar negara tidak jahanam,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Puad merujuk kenyataan Latiff semalam yang berkata, Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob tidak wajar mengeluarkan kenyataan gurau dan sinikal, terutama ketika berucap dalam program politik.

“Sekarang ini, Umno dilihat sebuah parti yang penuh dengan jenaka,” kata Latiff semalam.

Terdahulu, Ismail dilaporkan mengakui hanya berseloroh ketika membuat kenyataan mahu memecat 12 menteri Perikatan Nasional, selepas Latiff mengecam kenyataan “pecat menteri” itu dengan berkata, menteri Kabinet boleh meletak jawatan lebih awal kerana mempunyai “maruah”.

Katanya, jika kenyataan tersebut serius, sudah pasti akan berlaku pemecatan dalam kalangan menteri PN, termasuk Latiff.

Latiff sebelum ini terkilan dengan kenyataan Ismail bahawa 12 menteri PN boleh dipecat kerana mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pembubaran Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.