Tingkat kawalan sempadan, elak insiden Wang Kelian berulang, kata ahli RCI

Tingkat kawalan sempadan, elak insiden Wang Kelian berulang, kata ahli RCI

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan kelompongan berlaku di sempadan sekali gus memudahkan penyeludup beroperasi.

Beberapa kubur besar ditemui di Wang Kelian, Perlis, berdekatan sempadan Thailand pada 2015. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia perlu meningkatan kawalan sempadannya demi memastikan tragedi pemerdagangan manusia seperti berlaku di Wang Kelian tidak berulang, kata ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat penemuan kubur besar di Perlis, pada 2015.

Dr Tan Seng Giaw, mengulas mengenai laporan RCI yang dikeluarkan, semalam, berkata kawalan koordinasi lebih cekap antara Malaysia dan Thailand diperlukan bagi membanteras kes pemerdagangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara itu.

“Apa yang kita perlukan adalah mengetatkan, lebih cekap kawalan di sempadan kita. (Perlu dilakukan) kawalan berterusan dengan pegawai terlatih dan berdisiplin.

“Kita perlu meningkatkan koordinasi antara dua negara, bukan sahaja membabitkan isu pemerdagangan manusia, malah berkaitan dadah dan barang lain,” kata bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu kepada FMT.

RCI Wang Kelian berjalan bermula 5 Mac hingga 4 Sept 2019, susulan penemuan 139 kubur besar pada 2015 di 28 “kem tahanan” migran yang ditinggalkan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Kubur serupa turut ditemui berdekatan sempadan di Thailand dengan mangsa dikatakan datang dari Myanmar dan Bangladesh kerana mahu mencari pekerjaan.

Laporan itu berkata, sebahagian besar sempadan tidak dibangunkan sekali gus memudahkan kegiatan penyeludupan beroperasi.

“Inilah faktor utama yang menyumbang insiden di Wang Kelian,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, penyeludupan dan kematian pendatang asing tanpa izin (Pati) itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa mengambil langkah lebih proaktif dalam pengawalan sempadan.

Memetik Berita Harian, laporan setebal 184 muka surat itu memperincikan kronologi penemuan kem, siasatan, kawalan sempadan dan tindak balas pelbagai agensi penguatkuasaan terhadap penemuan kubur besar serta kem transit di Wang Kelian, berhampiran sempadan Thailand itu.

Menurut laporan itu, sempadan Malaysia-Thailand ketika ini dikawal Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut kawasan ditetapkan Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan.

Katanya, anggota ditempatkan tidak mencukupi, ditambah kekurangan peralatan dan kelengkapan terutama kenderaan bagi tujuan rondaan.

Selain itu, pagar dan tembok sempadan pula dibina tidak menyeluruh di mana terdapat kawasan sempadan yang terbuka dan aset tidak diselenggara dengan baik.

“Ia tidak memerlukan usaha yang gigih untuk mengesan apa yang berlaku di Bukit Wang Burma seperti yang ditunjukkan oleh S1 (Saksi pertama RCI, Koperal Mat Ten iaitu anggota PGA yang menemui kem di Bukit Wang Burma).

“Apa yang perlu ada dalam kalangan pegawai penguat kuasa ialah sikap dedikasi, komitmen dan daya imaginasi dalam melaksanakan tugas mereka.”

Laporan itu turut menyebut, sempadan darat Malaysia-Thailand antara Wang Kelian hingga ke Bukit Kayu Hitam mudah dibolosi walaupun ada pagar keselamatan, tembok, pos kawalan serta jalan keselamatan di sempadan terbabit.

Perkara itu, menurut laporan itu, disebabkan rondaan tidak mencukupi, pagar kawat duri mudah dipotong, ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di sempadan Wang Kelian, pagar tidak diselenggara dan tiada penduduk di kawasan sempadan Malaysia boleh bertindak sebagai pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan.

Menerusi laporan itu, RCI mendapati koordinasi antara agensi penguatkuasaan yang bertugas di kawasan sempadan sangat lemah.

Ia membabitkan PGA, ATM, Jabatan Imigresen (Imigresen), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan beberapa lagi agensi lain.

“Agensi-agensi yang bertugas di kawasan sempadan ini masih berpegang kepada penugasan atau ‘core business’ sendiri dan menyukarkan koordinasi kawalan sempadan yang mantap,” kata laporan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.