‘Muka lama’ perlu jadi taruhan PKR di Hang Tuah Jaya, kata Shamsul Iskandar

‘Muka lama’ perlu jadi taruhan PKR di Hang Tuah Jaya, kata Shamsul Iskandar

Timbul teka-teki mengenai nasib Shamsul Iskandar yang tewas pada pemilihan PKR bahagian baru-baru ini.

Shamsul Iskandar Md Akin berkata, faktor sudah lama berkhidmat dan dikenali masyarakat akan lebih membantu apabila PRU15 diadakan tiba-tiba berbanding kesukaran menawan semula hati pengundi dengan ‘muka baharu’.
HANG TUAH JAYA:
Penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Md Akin, percaya meletakkan “muka lama” akan lebih memudahkan kempen PKR pada PRU15, memandangkan parti itu kesuntukan masa untuk berkempen.

Ini kerana faktor sudah lama berkhidmat dan dikenali masyarakat akan lebih membantu apabila pilihan raya diadakan secara tiba-tiba berbanding kesukaran menawan semula hati pengundi dengan “muka baharu”.

“Kalau PRU tahun depan, maka ini (meletakkan calon baharu) satu perkara yang munasabah untuk dilakukan,” kata Shamsul ketika ditemui FMT di pejabatnya di Bukit Piatu.

Shamsul ditemubual FMT ketika timbul teka-teki adakah beliau akan mempertahankan kerusinya, selepas tewas pada pemilihan PKR bahagian sebelum ini.

Beliau merupakan wakil rakyat di situ sejak 2013, ketika kerusi itu dikenali sebagai Bukit Katil, dan adalah timbalan menteri industri utama dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. PKR dijangka mengumumkan calon-calon PRU15 tidak lama lagi.

Shamsul berharap parti akan mencalonkan beliau sekali lagi untuk mempertahankan Hang Tuah Jaya daripada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Kalau saya diberi peluang, amanah, dan tanggungjawab ini, saya harap pengundi-pengundi yang sudah serasi dengan saya…akan terus memberikan sokongan dengan program-program yang telah kita laksanakan sepanjang empat tahun terutama sewaktu pandemik,” katanya.

Namun, temubual dengan pemimpin PKR tempatan membayangkan akar umbi tidak berkongsi sentimen yang sama dengan Shamsul.

Ketua PKR Bahagian Hang Tuah Jaya, Rafee Ibrahim, berkata pencalonan muka lama hanya munasabah sekiranya individu tersebut mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.

Beliau menyenaraikan dua ciri penting yang akan benar-benar membantu PKR, iaitu calon mesti sentiasa sedia berurusan dengan rakyat dan memastikan mereka terima khidmat.

“Calon mestilah mudah dihubungi dan mudah didekati rakyat,” kata bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya itu.

Rafee menewaskan Shamsul pada pemilihan PKR bahagian Mei lepas.

“Tidak kira muka baharu atau lama, yang penting dikenali pengundi dan rakyat dapat melihat khidmat yang telah diberikan kepada mereka.”

Di sebalik teka-teki siapa calon PKR di Hang Tuah Jaya, Rafee menggambarkan akar umbi dan pengundi sudah mempunyai pilihan tersendiri.

“Saya yakin rakyat Hang Tuah Jaya sudah tahu untuk memilih siapa sebagai pemimpin mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.