
Penolong Setiausaha Agung STAR, Rizal Johari berkata, parti itu sentiasa sedar setiap kali memasuki medan pilihan raya, tujuan utamanya adalah memperjuangkan hak Sabah dan rakyatnya.
“Jika Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan BN mahu bergerak solo pada PRU ini, mereka boleh berbuat demikian. STAR sentiasa bersedia untuk bertanding kerana kami sentiasa berpegang kepada perjuangan kami,” katanya.
Dalam kenyataan pada Sabtu lalu, Presiden PBRS, Joseph Kurup menggesa BN Sabah bergerak solo di negeri itu pada PRU15.

Beliau percaya pakatan antara BN dan gabungan pemerintah di Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hanya akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).
GRS dianggotai Bersatu Sabah, STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno). Gabungan itu menerajui kerajaan negeri bersama BN, dengan PBRS merupakan parti komponen BN.
Kurup berkata, hampir semua bahagian dan ahli akar umbi PBRS menentang pakatan pilihan raya antara BN dan GRS, yang diketuai Ketua Menteri dan Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor.
Beliau berkata demikian walaupun Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin menyatakan tidak akan ada pertembungan dengan GRS pada PRU15 kerana pembahagian kerusi pada asas 50:50.
Rizal berkata, tiada apa yang perlu dikesalkan jika BN Sabah memutuskan untuk bergerak solo pada PRU15.
“Kami akan hormat apa saja keputusan yang diambil. Sebagai parti tempatan dalam GRS, STAR meneruskan perjuangan kami untuk memenuhi aspirasi sebenar semua rakyat Sabah.
“Kami juga hormat seruan PBRS. Tetapi jika GRS menang, kami akan sokong mana-mana blok yang akan membentuk kerajaan seterusnya demi rakyat Sabah.”
Bagaimanapun, katanya, ini tidak bermakna kerajaan GRS akan patuh kepada sesiapa secara membuta tuli.
“Rakyat undi kami kerana mereka tahu apa pendirian dan perjuangan kami. Mereka juga tahu presiden kami, Jeffrey Kitingan sentiasa konsisten dalam perjuangan politiknya.
“Seterunya boleh mengkritik beliau, tetapi rakyat tahu pada dasarnya, beliau sentiasa berjuang untuk anda, saya dan generasi akan datang.”
Katanya, penting bagi orang ramai jelas mengenai agenda sebenar parti politik dan tidak dipengaruhi sentimen semata-mata.
“Mana-mana parti boleh mengaku sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hak Sabah dan rakyatnya. Luangkan sedikit masa untuk menyemak rekod prestasi mereka kerana cakap memang mudah.”