Pasaran buruh bebas masih di luar jangkauan

Pasaran buruh bebas masih di luar jangkauan

Walaupun potensinya luas konsep pasaran buruh Asean yang bebas mungkin tidak sentiasa dialu-alukan, kata ahli ekonomi.

Menjadikan pasaran buruh lebih bebas akan membenarkan pekerja asing bertukar majikan atau pekerjaan dan mengurangkan risiko mereka dianiaya, kata ahli ekonomi.
PETALING JAYA:
Langkah menjadikan pasaran buruh di seluruh rantau Asean lebih bebas bukan sahaja akan menyelesaikan masalah semasa tetapi juga membawa manfaat kepada pekerja dan majikan, menurut dua ahli ekonomi.

Sekatan ke atas pergerakan pekerja akan dimansuhkan, manakala majikan boleh berjimat berbilion-bilion dalam bayaran kepada agensi, dan pekerja akan dilindungi, kata Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia dan Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran.

Minggu lepas, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengumumkan bahawa bilangan pekerja asing di Malaysia dijangka meningkat kepada lebih dua juta orang.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa 238,943 pekerja asing akan memasuki negara ini dengan visa yang diluluskan tidak lama lagi dan kira-kira 640,000 permohonan sedang diproses.

Menteri itu mendapat kecaman berhubung pelbagai isu, termasuk tempoh menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan visa, menyebabkan kelewatan yang boleh menjejaskan pemulihan perniagaan dan kemampanan operasi.

Selain itu, turut wujud masalah rakyat Malaysia diumpan ke Kemboja oleh sindiket penipuan pekerjaan untuk bekerja dalam keadaan yang teruk, menjadikan persoalan akses mudah kepada pekerjaan di seluruh rantau lebih kritikal berbanding sebelum ini.

Williams berkata, liberalisasi pasaran buruh akan menghapuskan keperluan untuk bayaran agensi.

“Jumlahnya menjadi sehingga RM15,000 hingga RM20,000 bagi setiap pekerja. Dengan 2.2 juta pekerja asing di Malaysia, jumlahnya mencecah RM33 bilion hingga RM44 bilion. Dengan hanya memansuhkan bayaran agensi akan menjimatkan berbilion-bilion kos transaksi tidak produktif untuk syarikat,” katanya.

Beliau berkata, pekerja asing, termasuk mereka yang bergaji tinggi, tidak mendapat perlindungan yang berkesan daripada undang-undang buruh semasa dan ini boleh mengakibatkan mereka dianiaya.

“Setibanya di negara destinasi, pekerja akan terperangkap dengan hanya seorang majikan. Hal ini menyekat pergerakannya dari segi pilihan pekerjaan,” katanya.

“Menjadikan pasaran buruh lebih bebas boleh mengurangkan insiden pemerdagangan manusia, memandangkan pekerja akan bebas bergerak tanpa sekatan yang dikenakan oleh orang tengah yang menganiaya.”

Tambahnya, sistem yang bagus harus disertakan dengan permit kerja jangka panjang yang terikat kepada pekerja, bukannya majikan.

Ferlito berkata, liberalisasi pasaran buruh akan membolehkan warga Asean bergerak bebas dari satu negara ke negara lain dalam blok itu untuk mendapatkan pekerjaan tanpa perlu mendapatkan visa kerja.

“Ini akan membolehkan pekerja Asean merebut peluang pekerjaan di mana-mana negara di rantau ini tanpa perlu mendapatkan kebenaran khas,” katanya.

Liberalisasi pasaran buruh juga akan menghapuskan risiko pekerja dipaksa menyerahkan pasport kepada majikan, atau lebih teruk lagi, terjerumus dalam perhambaan.

Ferlito berkata, pasaran buruh yang bebas bermakna rakyat Malaysia akan mempunyai akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan, manakala perniagaan akan dapat membuat pilihan daripada kumpulan pekerja yang lebih besar.

“Pasaran buruh yang lebih rancak seperti ini akan merangsang persaingan dan inovasi,” katanya.

Walaupun potensinya luas, konsep pasaran buruh Asean yang bebas mungkin tidak sentiasa dialu-alukan.

Williams mengaitkan tentangan itu dengan negara tuan rumah yang takut kehilangan kawalan ke atas imigresen, selain cabaran budaya.

“Sebagai contoh, di Malaysia, pekerja asing berdepan diskriminasi dan layanan buruk,” katanya.

“Memandangkan agensi di semua negara Asean menerima bayaran berbilion dolar, tahap rasuah tinggi, dan ini menjadi penghalang kepada liberalisasi pasaran buruh.

“Ejen tidak mahu kehilangan akses kepada dana ini. Keadaan ini menjadi masalah di setiap negara.”

Ferlito berkata, halangan lain termasuk ketakutan terhadap persaingan.

“Ada yang berpendapat bahawa rakyat Malaysia akan digantikan oleh warga asing (dalam tenaga kerja),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.