Model bidas pihak ‘sunting’ klip video tular demi kempen politik

Model bidas pihak ‘sunting’ klip video tular demi kempen politik

Gayathri Moorthi berkata pelaku terbabit telah mencemarkan nama baiknya dan secara tidak wajar telah mengheretnya ke kancah politik.

Model dan pelakon Gayathri Moorthi, berkata beliau bukan dan tidak berhasrat untuk menjadi ahli mana-mana parti politik.
PETALING JAYA:
Seorang model yang klip videonya di TikTok digunakan pihak tidak dikenali untuk kelihatan seolah-olah sebahagian kempen pilihan raya MIC mengecam tindakan itu kerana merosakkan reputasinya.

Gayathri Moorthi, yang menggunakan nama @gayathrimoorthioficial4 di TikTok, berkata tidak wajar bagi pihak tersebut untuk menjadikan klip videonya, yang dibuat untuk perayaan Ugadi (Tahun Baharu Telegu) beberapa bulan lalu sebagai kempen politik.

“Saya bukan ahli mana-mana parti politik dan tidak mahu menjadi ahli (mana-mana parti). Saya seorang model dan pelakon profesional dan tidak sepatutnya sesiapa pun menyunting klip video TikTok saya untuk aktiviti jahat seperti ini.

“Saya juga tidak rasa klip video itu mengghairahkan seperti didakwa,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pelaku terbabit telah mencemarkan nama baiknya dan secara tidak wajar telah mengheretnya ke kancah politik.

Gayathri merupakan model dan pelakon drama tempatan sejak 15 tahun lalu dan pernah memenangi kategori pelakon pembantu wanita terbaik dalam Anugerah Telemovie Astro 2019. Beliau juga menjadi model Malaysia pertama yang muncul dalam iklan di India.

Semalam, MIC menafikan parti itu terbabit dengan klip video Gayathri yang turut memaparkan logo parti itu dan BN.

Presidennya, SA Vigneswaran berkata, wanita dalam video itu bukan ahli MIC dan beliau menegaskan bahawa berkempen untuk pilihan raya dengan cara sebegitu bukan langkah bijak bagi parti.

Dalam klip video asal berdurasi 60 saat itu, Gayathri yang memakai sari dilihat menari mengikut rentak lagu popular.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.