LLM jadi orang tengah selesai hutang DASH, SUKE

LLM jadi orang tengah selesai hutang DASH, SUKE

Kementerian Kerja Raya mengarahkan LLM mengadakan pertemuan antara pemegang konsesi, kontraktor dan subkontraktor untuk menyelesaikan hutang tertunggak.

Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, sebarang hutang berkaitan projek DASH yang dibuka baru-baru ini perlu dijelaskan segera.
PETALING JAYA:
Kementerian Kerja Raya mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjadi orang tengah dengan mengadakan pertemuan antara kontraktor yang belum melangsaikan hutang untuk dua lebuh raya.

Menteri sementaranya, Fadillah Yusof berkata, pertemuan antara pemegang konsesi, kontraktor utama dan subkontraktor bagi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), dapat memastikan semua bayaran tertunggak diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, LLM mempunyai kuasa kawal selia proses mengaudit belanjawan lebuh raya dan campur tangan mengikut perjanjian konsesi.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kelewatan pembayaran melibatkan kerja yang dilakukan di DASH dan SUKE.

“Untuk mengelakkan keraguan, pemegang konsesi bertanggungjawab untuk semua pembayaran kepada kontraktor, bukannya kerajaan.

“Dalam kes ini, pemegang konsesi DASH dan SUKE di bawah pengendali lebuh raya Prolintas,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, sebarang hutang berkaitan projek DASH yang dibuka baru-baru ini perlu dijelaskan segera.

Beliau mengarahkan Kementerian Kerja Raya memberi penjelasan terperinci mengenainya dan bayaran kepada kontraktor perlu diselesaikan.

“Mesti ada sebab bayaran tersebut tidak dijelaskan, dan walaupun selepas projek tersebut siap, kita harus melihat sama ada ia memenuhi kepuasan kementerian,” kata Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.