Kementerian tak pernah halang guru suara pandangan, kata Radzi

Kementerian tak pernah halang guru suara pandangan, kata Radzi

Radzi Jidin berkata Kementerian Pendidikan mengalu-alukan maklum balas daripada semua pemegang taruh.

Radzi Jidin berkata guru bebas mengemukakan pandangan mereka.
SHAH ALAM:
Menteri Kanan Pendidikan sementara Radzi Jidin berkata pihak kementerian tidak pernah menghalang guru menyuarakan kebimbangan mengenai sistem pendidikan.

Radzi berkata, sebaliknya pihak kementerian mengalu-alukan maklum balas daripada pemegang taruh.

“Dalam mana-mana sesi perjumpaan dan dialog dengan guru, tidak ada sekali pun saya tutup ruang untuk guru beri pandangan,” katanya dalam sidang media.

Kenyataan itu susulan guru sekolah rendah, Fadli Salleh, yang berdepan tindakan disiplin kerana mengutarakan kebimbangan berhubung silabus matematik yang dikatakan terlalu tinggi kepada murid.

Fadli, guru di SK (1) Gombak, membuat rungutan berhubung perkara itu di Facebook dengan mengatakan tidak cukup masa bagi guru untuk menghabiskan seluruh silibus subjek berkenaan.

Beliau juga mengetengahkan isu beg sekolah berat murid kerana membebankan mereka.

Pada Ahad, Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, berharap penyelesaian ‘menang-menang’ boleh dicapai dalam kes Fadli.

Jawatankuasa disiplin yang menyiasat Fadli mengadakan mesyuarat semalam yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Yusran Shah Mohd Yusof.

Ditanya berhubung nasib Fadli, Radzi berkata, beliau meletakkan kepercayaan kepada pihak jawatankuasa membuat “keputusan profesional” berdasarkan penilaian mereka.

Katanya, keputusan jawatankuasa akan disampaikan kepada Fadli, hari ini.

Radzi menjelaskan, silibus sekolah rendah yang sedang digunakan bermula sejak 2017 dan akan lengkap pusingannya, tahun ini. Justeru, penelitian sedang dilakukan pihak kementerian bagi penambahbaikan.

“‘Ini bukan ‘silibus Radzi Jidin’. Silibus ini mula digunakan pada 2017 dan untuk bangunkan silibus ini, ia ambil masa dan prosesnya bermula lebih lama dari itu dan dibangunkan oleh guru dan pegawai pendidikan,” katanya.

Katanya, kebimbangan disuarakan Fadli merupakan isu berbangkit yang lama dan pihak kementerian konsisten mendengar pandangan pemegang taruh, mengkaji isu dan mencari penyelesaian.

Radzi berkata, beliau juga menjangkakan sistem pendidikan akan menjadi “bahan politik”, memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

“Itu bukan cara kita menguruskan sistem pendidikan,” katanya.

Semalam, Radzi dalam hantaran di Facebook, menyatakan kesediaan bertemu Fadli. Fadli juga menyatakan dalam akaun media sosialnya beliau akan bertemu Radzi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.