
Presiden Umno berkata, “desentralisasi” pendidikan penting bagi pihak sekolah mengadaptasi pelan pembelajaran dan pengajaran kepada perubahan di peringkat nasional.
Katanya, Malaysia perlu melaksanakan “Universal Design for Learning (UDL)” untuk menggantikan pendekatan terlalu berpusat bertujuan membina fleksibiliti dan memudahkan perubahan mengikut konteks tempatan dalam pelan pembelajaran.
“Ia akan menjadikan pihak sekolah lebih efektif dan efisien dalam menjalankan pelan pendidikan mereka menurut konteks, budaya dan sumber yang ada pada tahap tempatan,” kata bekas timbalan perdana menteri itu di Facebook.
Merujuk kepada isu guru matematik Mohd Fadli Salleh, Zahid berkata, perkara dibangkitkan wajar dijadikan maklum balas bermanfaat dan tidak dianggap ancaman kepada sistem pendidikan negara.
“Bak kata cikgu Fadli jangan hanya nak samakan silibus sahaja dengan zaman dan negara maju yang lain. Perlu juga samakan dengan aspek fasiliti, masa mengajar dan kemudahan.
“Jangan kita terlalu ghairah mengambil contoh luar negara, sedangkan negara yang dicontohi itu tukar kepada sistem yang lain lebih berkesan.
“Apatah lagi acuan luar negara menekankan perlunya fasiliti, masa mengajar dan kemudahan untuk memberikan yang terbaik kepada semua pelajar,” katanya yang mengambil contoh kekurangan akses internet di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
Isu cikgu Fadli mencuri tumpuan baru-baru ini selepas beliau mendedahkan menerima surat rasmi lembaga tatatertib yang menyatakan dirinya berdepan tindakan “buang kerja atau turun pangkat”.
Ia gara-gara beliau mempersoalkan isu beg berat, tahap silibus matematik terlalu tinggi dan bilik darjah padat, selain banyak lagi isu dalam pendidikan.
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin menyatakan kesediaannya berjumpa guru tersebut. Fadli juga menerusi status terbaru di akaun media sosialnya menyatakan akan berjumpa Radzi suatu hari nanti
Perkara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang berharap situasi menang-menang dapat dicapai dalam isu berkenaan.