
Setiausaha PN Selangor, Muhammad Hilman Idham, berkata realitinya Amirudin terperangkap dalam bayangan prestasi kepimpinan terdahulu sehingga terpaksa berhempas pulas melakukan penjenamaan semula terhadap pelbagai program kebajikan rakyat.
Katanya, ia dibuat demi memadam dan menghentikan rekod dan prestasi kejayaan Selangor bawah pentadbiran Azmin termasuk soal pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kenyataan angkuh Amirudin yang mendakwa seolah-olah prestasi ekonomi Selangor lebih baik bawah kepimpinan beliau berbanding ketika Azmin ternyata sekadar menjadi bahan jenaka dalam kalangan rakyat Selangor.
“Dakwaan prestasi ekonomi baik dengan semata-mata merujuk kepada angka sumbangan Selangor kepada sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, adalah cubaan yang dangkal dan meleset,” katanya dalam kenyataan.
Hilman yang juga ADUN Gombak Setia berkata, hakikatnya pertumbuhan ekonomi Selangor meleset dari tahun ke tahun sejak 2018 sehingga hari ini biarpun sebelum berdepan pandemik.
“Pada 2018, pertumbuhan ekonomi Selangor dicatatkan pada kadar 7.0%. Kadar pertumbuhan Selangor merosot kepada 6.8% pada 2019 dan terus merosot akibat pandemik pada tahun 2020 pada kadar -5.2 dan hanya 5.0% pada 2021.
“Sudah menjadi resam dalam kepimpinan Amirudin untuk seringkali mengaburi mata rakyat agar teruja dengan angka-angka yang besar. Sikap ini menjadikan kepimpinan negeri delusional dan tidak realistik dalam banyak perkara,” katanya.
Hilman berkata, sebagai contoh matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menyumbang 30% daripada KDNK negara, sasaran berkenaan sangat tidak realistik memandangkan Selangor perlu mencatatkan pertumbuhan secara “compounded annual growth rate” atau CAGR sekurang-kurangnya 9.5% setiap tahun khususnya dalam suasana ekonomi hari ini.
Ahad lalu Amirudin membidas Azmin yang mendakwa Selangor merosot selepas beliau meninggalkan pejabat menteri besar pada 2018.
Menurut Amirudin, prestasi negeri paling maju di Malaysia itu sebenarnya lebih baik selepas 2018 termasuk pengenalan lebih banyak program kebajikan untuk rakyat.