
Ikmalrudin dalam satu kenyataan hari ini berkata, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dun Pahang dan Perlis pada 14 Okt manakala Perak 17 Okt daripada Speaker negeri masing-masing.
“Sehubungan itu, penetapan tarikh-tarikh penting pilihan raya bagi ketiga-tiga negeri ini akan dibincangkan serentak dalam mesyuarat khas SPR yang akan diadakan pada 20 Okt ini,” katanya.
Pembubaran Dun berkenaan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan peringkat Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
Sehingga kini PAS yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah, mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dun di ketiga-tiga negeri berkenaan selepas perkara itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), juga masih terikat dengan ketetapan Majlis Presiden PH sebelum ini yang memutuskan bahawa ketiga-tiga negeri itu tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 pada 10 Okt lepas setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.
Walaupun terdapat beberapa negeri enggan membubarkan Dun masing-masing, Ismail dilaporkan berkata PRU15 tetap diteruskan.