Polis rampas dadah RM2.5 juta di inap desa

Polis rampas dadah RM2.5 juta di inap desa

Dua lelaki ditahan kerana disyaki menjadikan sebuah rumah inap desa di Kajang sebagai stor menyimpan dadah jenis erimin 5 dan syabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Abu Kassim berkata, dadah yang dirampas itu boleh menampung bekalan kepada kira-kira 538,000 penagih. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kegiatan dua lelaki yang menyewa rumah inap desa di Kajang untuk dijadikan stor simpanan dadah terbongkar apabila premis berkenaan diserbu polis pada 13 Okt lepas yang membawa kepada penemuan dadah bernilai RM2.5 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Abu Kassim berkata, penahanan seorang lelaki berusia 37 tahun di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini, yang kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 38 tahun di hadapan pos pengawal taman perumahan di Bandar Damai Perdana, Kajang, telah membawa kepada penemuan dadah tersebut.

“Hasil tangkapan itu, polis menyerbu sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana yang menempatkan 206 bungkusan teh cina mengandungi syabu seberat 213 kilogram (kg) dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33kg bernilai RM2.5 juta,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Polis turut menyita wang tunai RM70,000 dan dua kereta jenis Toyota Altis serta sebuah kereta Kia Forte, dan menurut Azmi rampasan dadah di inap desa itu boleh dibekalkan kepada 538,000 penagih.

Azmi berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan inap desa tersebut sebagai stor simpanan dadah selama dua bulan, yang disewa pada harga RM280 sehari.

“Kami percaya sindiket ini sentiasa mengubah lokasi simpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari negeri sebelah utara tanah air itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, dadah berkenaan akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua lelaki yang didapati positif syabu itu kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.