Keluarga mangsa pemerdagangan manusia minta China guna pengaruh tekan Myanmar

Keluarga mangsa pemerdagangan manusia minta China guna pengaruh tekan Myanmar

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkata kerajaan China diharap mampu memberi tekanan memandangkan negara itu merupakan pelabur besar di Myanmar.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan wakil keluarga mangsa hadir menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan China, hari ini. (Gambar MHO)
PETALING JAYA:
Misi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar diteruskan, kali ini dengan menggesa bantuan daripada kerajaan China.

Pagi ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama ahli keluarga mangsa hadir ke Kedutaan China di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum meminta campur tangan daripada republik itu.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, berkata China mampu memberi tekanan kepada Myanmar berikutan ia menjadi pelabur terbesar di negara junta itu.

“Kita sudah pergi (hantar memorandum ke) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minta supaya sampaikan mesej kepada PBB yang berpengkalan di New York untuk bantu rakyat Malaysia.

“Hari ini, kita datang juga ke Kedutaan China yang berada di Malaysia supaya mesej ini sampai kepada Beijing untuk minta bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bantu selamatkan rakyat kita yang masih terperangkap, diseksa, dikurung, dipaksa menjadi hamba abdi di Myanmar,” katanya selepas menyerahkan memorandum di Kedutaan China, di Jalan Ampang.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia (Al-Ehsan), Muhammad Ridzwan Sulaiman.

Minggu lalu, MHO dan rakan sekutu NGO yang lain hadir ke pejabat PBB di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan Myanmar yang membisu bersabit dakwaan negaranya bertoleransi dengan aktiviti pemerdagangan manusia.

Hishamuddin berkata, selagi sindiket pemerdagangan manusia bermaharajalela di Myanmar, rantau Asean tidak akan selamat justeru ia harus dihentikan.

“Kita maklum kerajaan China dan kerajaan Myanmar sangat erat dari sudut ekonomi. Pelaburan terbesar adalah dari China. China punya pengaruh yang besar kepada Myanmar. Sekiranya, kerajaan China bertegas berikan nota bantahan Myanmar untuk hentikan pemerdagangan manusia, sudah tentu Myanmar akan bertindak balas dengan cepat.

“Ramai rakyat Taiwan dibebaskan sebab tekanan yang kuat oleh China. Baru-baru ini, kerajaan Myanmar dapat tekanan yang kuat dari negara India dan lebih 100 orang rakyatnya berjaya diselamatkan,” tegas Hishamuddin.

MHO sebelum ini mendedahkan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Laos, Kemboja dan Myanmar.

Kerajaan Laos dan Kemboja memberikan kerjasama baik dalam misi menyelamatkan mangsa, namun tidak kerajaan Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.