Warisan kami akan musnah, Orang Asli bantah ECRL

Warisan kami akan musnah, Orang Asli bantah ECRL

Orang Asli di Gombak mendakwa pembinaan ECRL merentasi kampung mereka akan memusnahkan warisan masyarakat itu dan sejarah panjang di kawasan terbabit.

Sebahagian Orang Asli dari dua kampung di Gombak yang mengadakan pertemuan dengan pemaju ECRL hari ini.
GOMBAK:
Orang Asli di sini membantah pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) merentasi kampung mereka yang didakwa akan memusnahkan warisan masyarakat itu dan sejarah panjang di kawasan terbabit.

Penduduk kampung itu berkata, 18 suku kaum Orang Asli kini hidup secara harmoni, selepas dibawa ke sana oleh penjajah.

“Kami tidak mahu pindah kerana sejarah dan tradisi kami berkisar di kawasan ini. Tiada tempat lain seperti Gombak, bahkan orang Cina dan India tinggal dalam kalangan Orang Asli,” kata jurucakap penduduk kampung itu.

Mereka berkumpul untuk berbincang dengan Exco Selangor, Hee Loy Sian dan wakil Malaysia Rail Link Sdn Bhd di balai raya Orang Asli Jabatan Kebajikan di sini.

Penduduk kampung menyifatkan jajaran ECRL berbahaya kerana kawasan itu sering dinaiki air ketika musim hujan.

Mereka berkata, jika tiada pilihan selain berpindah, maka mereka perlu diberikan pampasan adil, sama ada dalam bentuk rumah atau wang tunai.

Hee berkata, penduduk kampung terbabit perlu berani dan mengambil pendirian bersama, jika mereka tidak mahu berpindah.

Disebabkan ECRL ialah projek persekutuan, katanya, penduduk kampung perlu menyuarakan rungutan mereka kepada Kementerian Pengangkutan.

“Tetapi, disebabkan hanya ada kerajaan persekutuan sementara ketika ini, sediakan memorandum dan hantar kepada calon yang bertanding kerusi Gombak pada pilihan raya umum akan datang.”

Beliau berkata, kerajaan Selangor belum membuat keputusan berhubung penjajaran ECRL di negeri itu dan sedang menunggu ECRL menyerahkan penemuannya dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.