Lebih 40 pendaki terperangkap di Telaga Tujuh akibat kepala air

Lebih 40 pendaki terperangkap di Telaga Tujuh akibat kepala air

Semua pendaki dianggarkan berusia 30 hingga 40 tahun, dengan lebih 15 daripadanya berjaya diselamatkan setakat ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah berkata, proses menyelamat masih berjalan dalam keadaan air sungai deras.
ALOR SETAR:
Lebih 40 pendaki gunung terperangkap di air terjun Telaga Tujuh dekat Langkawi akibat kejadian kepala air pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.16 pagi, sebelum 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba dimaklumkan lebih 40 orang pendaki gunung terperangkap akibat kejadian kepala air yang berlaku berikutan hujan lebat pagi tadi. Kesemua pendaki dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun.

“Ikatan tali telah dibuat bagi membolehkan anggota bomba menyeberangi sungai untuk menyelamatkan mangsa terperangkap. Setakat ini, lebih 15 mangsa berjaya diselamatkan dan proses menyelamat masih berjalan dalam keadaan air sungai masih deras,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Shariman Ashari yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Bomba Langkawi memaklumkan lebih 40 mangsa terperangkap di Telaga Tujuh.

Dalam perkembangan sama, pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus berkata, berlaku ribut dan banjir melibatkan beberapa mukim, tetapi tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

“Mukim yang terjejas akibat ribut dan banjir adalah Ayer Hangat, Padang Matsirat, Ulu Melaka dan Kuah. Keadaan cuaca di Langkawi sekarang masih hujan lebat serta ribut dan kerja pembersihan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.