
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata PBS perlu yakin dengan kekuatannya sendiri, selain menunggu GRS memuktamadkan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional, sebelum memutuskan untuk menggunakan logonya.
“Secara strategik, adalah tidak berhikmah untuk (menerima) logo GRS sebelum mengetahui kerusi yang akan diperoleh, lebih-lebih lagi hanya terdapat 25 kerusi Parlimen untuk dibahagikan antara GRS dan BN,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, PBS harus mengikuti pendirian PAS yang mahu menggunakan simbol sendiri di Kedah, Kelantan dan Terengganu walaupun menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional.
“PAS tahu logonya terkenal dalam kalangan pengundi di negeri berkenaan. Jadi, PBS harus mengikutinya memandangkan ia menunjukkan prestasi yang baik pada pilihan raya negeri,” katanya.
Pada pilihan raya negeri Sabah 2020, PBS menggunakan lambang sendiri buat pertama kali dalam tempoh 16 tahun dan memenangi tujuh kerusi.
Semalam, presiden parti, Maximus Ongkili berkata, keputusan untuk menggunakan logo GRS dibuat secara bersama oleh parti komponen gabungan itu, termasuk PBS.
Keputusan itu dibuat walaupun pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen GRS dan BN menjelang PRU15 belum dimuktamadkan, katanya.
James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania, berkata langkah bertanding di bawah bendera GRS disifatkan “bukan mengejutkan”, selain mendakwa PBS cuba mencontohi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Mereka melihat GPS sebagai model tidak rasmi. Mereka mahu membina blok Sabah yang kuat supaya mereka boleh mendapat konsesi maksimum daripada Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau merujuk kepada GPS yang hanya terdiri daripada parti berpangkalan di Sarawak sahaja, bertanding menggunakan logo sama.
Ditanya sama ada ini akan menjejaskan pengundi di Sabah, Chin berkata, ia akan berlaku dalam jangka masa singkat kerana sesetengah pengundi terdiri orang tua, yang mungkin buta huruf, merujuk simbol parti semasa mengundi.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak meramalkan sebarang kesan untuk jangka panjang.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata memandangkan logo PBS popular di Sabah, ia mampu menang besar ketika bertanding di bawah panji BN, pada 2018.
“Jadi, tidak sepatutnya ada masalah besar dan membiasakan penyokongnya dengan logo baharu,” katanya.