
Naib Ketua PKR kawasan Batu Rozan Azen Mat Rasip, ditahan pada 6 petang dan bermalam di lokap Balai Polis Jinjang.
Peguam Rozan, Gurmukh Singh berkata, adalah tidak masuk akal penahanan anak guamnya kerana menghalang lalu lintas.
Beliau berkata, Rozan sedang berjalan di sepanjang jalan ketika ditahan polis di Taman Koperasi Polis 2, Batu Muda.
“Saya tidak nampak kenapa dia perlu ditahan,” kata Gurmukh kepada FMT.
Beliau berkata, Rozan sedang menyiasat dakwaan bahawa sesetengah pengundi telah ditukar alamat mengundi tanpa persetujuan dan pengetahuan mereka.
“Anda tidak boleh menangkap orang kerana melakukan sesuatu berfaedah kepada orang ramai.”
Gurmukh juga berkata, kesalahan Rozan yang didakwa bukanlah satu kesalahan serius kerana ia boleh didenda maksimum RM400.
“Saya telah meminta beliau dibebaskan dengan jaminan polis. Sekiranya mereka perlu menyoalnya, beliau akan memberikan kerjasama.”
Beliau berkata, Rozan berkemungkinan dibebaskan sebelum 10 pagi ini.
“Tetapi, bagi saya, tiada sebab untuk dia terus berada dalam lokap,” katanya.
Rozan pernah menjalani pembedahan ketumbuhan dua bulan lalu dan turut menghidap sawan, katanya.