KPDNHEP rampas gula tanpa lesen hampir RM100,000

KPDNHEP rampas gula tanpa lesen hampir RM100,000

Gula 34,560kg itu dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Sendayan Tech Valley, Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Anggota KPDNHEP memeriksa sebahagian daripada 34,560kg gula tanpa lesen yang dirampas di sebuah gudang di Sendayan, Seremban. (Gambar KPDNHEP)
SEREMBAN:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menyerbu sebuah gudang di Sendayan Tech Valley, Bandar Sri Sendayan di sini dan merampas 34,560kg gula tanpa lesen dianggarkan bernilai RM98,496.

Pengarah KPDNHEP negeri, Muhammad Zahir Mazlan, berkata dalam serbuan 11 pagi semalam, syarikat tersebut didapati masih belum memperoleh kelulusan bagi permohonan baharu Lesen Borong Barang Kawalan Berjadual.

“Semasa pemeriksaan dijalankan pihak kami menemui sebanyak 34,560kg gula dalam kemasan peket 1kg di premis berkenaan.

“Syarikat terbabit disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu berurusan secara borong atau runcit barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pengawal,” katanya dalam kenyataan.

Zahir berkata, semua gula dan dokumen berkaitan pembekalan disita untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Zahir berkata, anggotanya turut melakukan serbuan kedua di premis tanpa nombor di Jalan Kampung Bemban, di sini, dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel dengan rampasan berjumlah RM50,252.

Katanya, ketika serbuan terdapat dua lori berada di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan, dipercayai berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel dan dua suspek warga tempatan masing-masing berusia 46 tahun ditahan bagi tujuan siasatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat cecair disyaki minyak diesel dianggarkan berjumlah 10,000 liter dalam tangki di belakang sebuah lori berkenaan dan 200 liter minyak diesel dalam tangki asal sebuah lori lagi.

“Turut ditemukan sebuah tangki ‘intermediate bulk container’ (IBC) yang juga mengandungi minyak diesel dianggarkan berjumlah 350 liter,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati premis dan individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang lesen, permit khas atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan berjadual bagi minyak diesel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.