PH perlu tinggal cara kempen negatif, kata Chin Tong

PH perlu tinggal cara kempen negatif, kata Chin Tong

Ahli strategi DAP itu berkata, PH wajar mengangkat pendekatan positif dan kebersamaan bagi PRU akan datang.

Pengundi perlu merasakan bahawa mereka juga mempunyai kepentingan dalam kempen PH, kata Liew Chin Tong.
PETALING JAYA:
Gabungan pembangkang perlu meninggalkan cara berkempen secara negatif, termasuk bergantung kepada naratif lama, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), menurut Liew Chin Tong

Ahli sains politik dan strategi DAP itu berkata, Pakatan Harapan (PH) seperti “terperangkap” dalam gaya melaksanakan kempen secara negatif.

Beliau berkata demikian walaupun PH mengambil pendekatan lebih positif pada PRU 2018, yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan selepas 61 tahun memegang tampuk pemerintahan.

Liew, yang juga bekas timbalan menteri pertahanan berkata, PH fokus kepada “harapan bagi Malaysia yang lebih baik” pada PRU lepas.

Bagi PRU akan datang, katanya, PH wajar mengangkat pendekatan positif dan kebersamaan.

“Kempen (sepatutnya menjadikan pengundi) merasakan mereka juga ada kepentingan dalam kempen kita dan (pembentukan) kerajaan,” katanya dalam rancangan “Consider This”, terbitan Astro Awani.

Liew berkata, PH tidak sepatutnya memasarkan dirinya sebagai gabungan yang sempurna, tetapi sebagai gabungan yang mempunyai hasrat murni.

Sementara itu, ahli sains politik Wong Chin Huat berpendapat, pembangkang memerlukan naratif “yang tidak tersangkut pada 2018”.

Katanya, akan ada yang menyokong naratif “asal bukan Umno”, namun tema lama sebegitu akan menyebabkan rakyat menganggap politik pilihan raya di negara ini masih rapuh.

“Malangnya, keadaan sudah berubah kerana kita mempunyai tiga gabungan kebangsaan seperti yang berlaku pada 1978 dan 1996,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.