Pemimpin Umno letak jawatan exco Kedah

Pemimpin Umno letak jawatan exco Kedah

Walaupun ADUN Sungai Tiang Suraya Yaacob tidak memberi sebab peletakan jawatannya namun dipercayai mempunyai kaitan isu pembubaran DUN Kedah.

Exco Kedah yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Suraya Yaacob meletakkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Sanusi Md Nor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
ADUN Sungai Tiang Suraya Yaacob yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, hari ini, meletak jawatan sebagai exco Kedah berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa kerja raya, bekalan air dan sumber air, dan tenaga negeri mengumumkan peletakan jawatan itu menerusi kenyataan media, selepas mesyuarat exco di Sungai Petani.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan sebarang sebab peletakan dibuat walaupun “khabar angin” mengatakan ia mempunyai kaitan dengan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Ketika ini, Kedah belum memutuskan pembubaran DUN untuk membuka laluan kepada pilihan raya diadakan serentak dengan Parlimen, susulan keputusan PAS membabitkan tiga negeri bawah pentadbirannya.

Dalam pada itu, Suraya merakamkan penghargaan kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas perkenan melantik beliau ke jawatan itu.

Suraya berkata, beliau tidak akan melupakan segala cabaran dan pengalaman dalam membantu penyelarasan mempercepatkan projek menaik taraf lima Loji rawatan air (LRA) yang tertangguh akibat dihentikan kerajaan negeri terdahulu.

“Projek itu menyaksikan Kedah menerima manfaat bernilai RM2.62 bilion atas penstrukturan semula industri air negeri Kedah, meliputi penghapusan hutang RM1.82 bilion dan selebihnya bagi kos membina dua LRA baharu di Sidam Kiri dan Kodiang.

“Antara pengalaman berharga saya pada penggal ini adalah membantu menyediakan sumber air tambahan buat rakyat negeri Kedah, membabitkan dua Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang dibangunkan untuk kegunaan menakung air lebihan yang melimpah ruah ketika musim tengkujuh untuk kegunaan ketika musim kemarau.

“Paling mencabar, sudah tentu saya dan rakan bertungkus-lumus menghadapi cabaran bencana banjir kepala air di daerah Yan dan Baling, tragedi ban pecah di Sungai Santap dan krisis air pada kemarau 2021,” katanya menurut Berita Harian.

Untuk rekod, Suraya menyandang kerusi DUN Sungai Tiang selama empat penggal sejak 2004. Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 2018, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis, 641 undi.

Umno hanya memenangi dua kerusi sahaja pada PRU14 di DUN Bandar Baharu, selain Sungai Tiang.

Kerajaan negeri bawah Perikatan Nasional (PN) diterajui PAS memiliki 23 daripada 36 kerusi DUN dengan sebahagian besar dimiliki PAS (15) diikuti Bersatu (6) dan Umno (2).

Pakatan Harapan (PH) pula menguasai 11 kerusi iaitu PKR (5), Amanah (4) dan DAP (2), manakala dua lagi kerusi dimiliki Pejuang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.