DAP, PKR berbeza pendapat berkait pilihan raya serentak

DAP, PKR berbeza pendapat berkait pilihan raya serentak

Sebilangan pemimpin DAP bimbang negeri diterajui PH kalah teruk jika pilihan raya negeri diadakan berasingan.

DAP dijangka membuat keputusan mengenai pilihan raya negeri di Pulang Pinang malam ini manakala PKR dijangka membuat keputusan mengenai Negeri Sembilan esok.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP dan PKR dilaporkan berbeza pendapat untuk memutuskan sama ada negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) patut mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan pilihan raya umum atau tidak, kata sumber.

Sumber memberitahu, pemimpin kerajaan DAP Pulau Pinang mahu PRN diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana bimbang pengundi letih untuk mengundi dua kali.

Katanya, faktor keletihan menyebabkan ramai pengundi tidak turun mengundi pada PRN sekiranya ia diadakan tahun depan.

Pengundi luar terutama yang tinggal di Singapura mungkin enggan pulang dua kali dalam tempoh terdekat atas faktor kos.

Selangor sudah membuat keputusan selepas Sultan Selangor memilih untuk mengadakan pilihan raya berasingan.

Negeri Sembilan sebelum ini mengumumkan untuk mengadakan pilihan raya negeri tahun depan tetapi masih menunggu keputusan Majlis Presiden PH.

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dijadual mengadakan mesyuarat “tergempar” malam ini antara lainnya untuk memutuskan mengenai PRN manakala PKR dijangka membuat keputusan esok.

Negeri PH sebelum ini beberapa kali menegaskan untuk mengadakan pilihan raya berasingan jika Parlimen dibubarkan tahun ini. Bagaimanapun, ia hanya bertujuan tidak menggalakkan perdana menteri daripada membubarkan Parlimen.

Satu sumber berkata, DAP mahu menjadi pragmatik kerana sedar risiko tindak balas daripada pengundi sekiranya mereka terpaksa mengeluarkan kos lebih untuk pulang dua kali untuk mengundi.

“Kita mungkin kehilangan penyokong tegar yang melihat tindakan ini sebagai satu keputusan tidak sensitif.

“Ini akan dianggap sebagai menyusahkan pengundi dan mereka akan hilang keyakinan kepada kemampuan parti membuat keputusan yang memihak kepada mereka.

“Rakyat juga akan marah kerana menyebabkan kerajaan berbelanja lebih untuk mengadakan pilihan raya berasingan,” katanya.

Satu lagi sumber berkata, sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya Parlimen, kemungkinan besar parti berasaskan kaum Melayu akan bersatu dan membentuk satu perikatan.

“Ini bermakna parti memerintah mempunyai kelebihan besar menggerakkan jentera kerajaan dan mempunyai banyak wang untuk merampas semula negeri seperti Selangor dan Negeri Sembilan yang mempunyai banyak DUN majoriti Melayu,” katanya.

Ini akan menyebabkan PH kalah teruk dalam pilihan raya negeri.

PKR yang menerajui kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan dikatakan berpegang pada pandangannya untuk memfokuskan pilihan raya Parlimen kerana mempunyai jentera lebih efektif di negeri yang dikuasainya.

“Mereka mungkin betul tetapi pemimpin PKR terlepas pandang pada fakta bahawa mereka tidak boleh menandingi jentera dan kuasa kerajaan persekutuan di pilihan raya negeri.

“Ini berlaku sekiranya BN menang atau mengwujudkan pakatan dengan parti berasaskan kaum Melaya yang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.