
PETALING JAYA: Seorang pemandu e-panggilan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Chan Wan Jie kerana kes bunuh dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Bernama.
Lelaki berusia 28 tahun itu didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki itu di sebuah rumah di Taman Skudai Ria, Skudai antara 8 hingga 8.30 malam pada 2 Okt lepas.
Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam K Veeranesh Babu.
Majistret R Salini menetapkan 17 Nov bagi sebutan semula kes.