Agong, Permaisuri berangkat untuk kunjungan hormat ke atas Raja Charles III

Agong, Permaisuri berangkat untuk kunjungan hormat ke atas Raja Charles III

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Samsuddin berkata kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London selama enam hari bermula 10 Okt hingga Ahad ini.

Agong dan Raja Permaisuri ketika kunjungan hormat ke atas Raja Charles III. (Gambar Facebook Istana Negara)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain Raja Charles III di Istana Buckingham, United Kingdom (UK) pada Rabu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Samsuddin berkata kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London selama enam hari bermula 10 Okt hingga Ahad ini.

Menerusi catatan dalam Facebook Istana Negara, Ahmad Fadil berkata pada sesi kunjungan hormat selama 40 minit yang bermula 3 petang waktu tempatan, Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Katanya, Agong turut menyentuh isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dengan UK termasuk isu alam sekitar dan pelancaran Stesen Janakuasa Battersea, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London yang dirasmikan oleh baginda selepas sesi kunjungan hormat itu.

“Keberangkatan Seri Paduka berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Agong dengan Raja Charles III yang kedua-dua pemimpin menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa,” katanya.

Menurut Ahmad Fadil, kunjungan hormat itu yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin tahun ini, turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dengan UK sejak kemerdekaan 65 tahun lepas.

Pada 18 Sept lepas, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat menghadiri majlis resepsi yang dihoskan Raja Charles III di Istana Buckingham.

Sehari selepas itu, Seri Paduka berdua turut berkenan berangkat ke Westminster Abbey bagi menghadiri istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.