Ujian besar buat MIC tanpa kerusi Cameron Highlands, kata penganalisis

Ujian besar buat MIC tanpa kerusi Cameron Highlands, kata penganalisis

Calon parti itu memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada dua PRU lalu.

MIC perlu membuktikan ia masih mempunyai sokongan kuat daripada masyarakat India.
PETALING JAYA:
MIC akan berdepan ujian getir kerana memutuskan tidak bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-15 (GE15), kata penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, MIC kini perlu membuktikan parti itu masih mendapat sokongan masyarakat India di kerusi lain yang akan ditandinginya.

Calon MIC memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam dua PRU lalu.

“Dalam politik, di mana anda perlu bertahan dengan tawar-menawar antara rakan gabungan, sebaik saja anda melepaskan kerusi seperti Cameron Highlands…saya rasa sukar untuk MIC mendapatkan semula kerusi itu kerana Umno fikir ia boleh menang dengan majoriti meyakinkan.

“Kini, MIC perlu membuktikan kepada Umno ia masih mempunyai sokongan kuat dalam kalangan masyarakat India – yang saya fikir benar, tidak seperti MCA dan masyarakat Cina.

“Saya rasa MIC mempunyai peluang sangat baik untuk menunjukkan ia masih mendapat sokongan kuat dalam kalangan kaum India. (Tetapi) ia perlu meyakinkan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), yang diketuai Umno, untuk memberinya kerusi yang boleh dimenangi di kawasan dengan peratusan tinggi pengundi India.

“Jika Umno mahu mempertahankan Cameron Highlands, maka ia tidak boleh ambil begitu saja daripada MIC. Ia perlu memberi mereka kerusi lain sebagai pertukaran, itu barulah adil,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Malaysiakini memetik Timbalan Presiden MIC, M Saravanan sebagai berkata, parti itu memutuskan tidak akan bertanding di Cameron Highlands, sebaliknya ia berharap dapat meletakkan calon di Teluk Intan, Perak.

Laporan itu berkata, menurut sumber BN, MIC sebelum ini berusaha menuntut kembali kerusi Cameron Highlands yang dianggap satu daripada kerusi selamat BN.

Pilihan raya kecil diadakan di Cameron Highlands pada 2019, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN, C Sivarraajh dari MIC pada PRU14 atas dakwaan pembelian undi.

Ramli Md Noor dari Umno memenangi PRK itu dan menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama di negara ini.

Sivarraajh memenangi kerusi itu dengan majoriti 597 undi, manakala Ramli menang dengan majoriti 3,238 undi dalam PRK itu.

FMT sudah menghubungi Ramli, Saravanan dan Presiden MIC, SA Vigneswaran untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.