
Kapal Peronda Luar Pesisir 1 (OPV 1) dilancarkan di limbungan TH Heavy Engineering (THHE), Pelabuhan Klang pada Isnin lalu, tetapi video menunjukkan kapal itu senget tersebar di media sosial.
Ketua Pengarahnya, Zubil Mat Som memberitahu FMT, kapal itu tidak mengalami sebarang masalah.
“Kapal itu berada dalam keadaan baik,” katanya yang turut berkongsi gambar terbaharu kapal itu yang berlabuh berhampiran limbungan.
Pengurus Besar THHE, Azizul Hanafee Zain berkata, kejadian itu berlaku ketika pekerja memotong kabel besi yang dipasang untuk menyokong struktur di bawah kapal.
“Apabila kabel di satu bahagian dipotong, ia menyebabkan kapal itu ditarik ke arah lain.
“Kami memang menjangkakan keadaan ini. Kedudukan kapal kembali normal selepas semua kabel dipotong,” katanya.
OPV1 dijadualkan menjalani beberapa ujian dan sesi latihan bersama kru selama tiga bulan sebelum ditugaskan ke Beting Patinggi Ali di Sarawak pada awal 2023.