
Peguam Shafee Abdullah berkata Laidlaw yang juga Peguam Diraja, dianggap antara peguam terhebat bagi menangani kes penipuan dan rasuah.
“Walaupun peguam terdahulu memaklumkan tidak berminat meneruskannya (mendapatkan khidmat Laidlaw), kami menganggap tidak masuk akal untuk merayu (penyertaan Laidlaw),” katanya kepada pemberita.
Shafee berkata, Najib memohon semakan di Mahkamah Persekutuan, untuk mengetepikan sabitannya pada 23 Ogos lalu, atau supaya panel lain mahkamah itu mendengar semula rayuan terhadap sabitannya.
Najib didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM42 juta dana SRC International. Dia kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.
Sebelum prosiding rayuan SRC International, Najib memecat firma guaman Shafee daripada mewakilinya di mahkamah tertinggi itu, sebaliknya melantik firma Sufian TH Liew & Partners. Peguam Hisyam Teh Poh Teik kemudian dilantik untuk mewakili barisan pembelaan pada prosiding di Mahkamah Persekutuan.
Laidlaw pada Julai memohon untuk dibenarkan hadir di mahkamah di sini secara ad hoc bagi menghujahkan rayuan kes SRC International Najib itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya itu kerana menganggap beliau tidak memenuhi syarat diperlukan untuk kemasukan secara ad hoc mengikut Akta Profesion Undang-undang. Laidlaw telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Disoal sama ada bekas perdana menteri itu akan bertanding dalam pilihan raya umum nanti, Shafee berkata beliau tidak mahu mendedahkan apa-apa yang mungkin dihujahkan di mahkamah kelak.
Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Okt untuk mendengar permohonan Najib supaya dia dibenarkan menghadiri prosiding di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, Dewan Rakyat tidak akan bersidang selepas ini memandangkan Parlimen dibubarkan Isnin lalu.