
Beliau berkata, konsep itu merupakan lumrah penerimaan umum di mana-mana negara di dunia.
“PAS juga yakin usaha menjayakan gagasan perpaduan ummah turut akan lebih mudah dicapai apabila semua parti utama Melayu-Islam dan Bumiputera dalam negara ini dapat berlapang dada.
“Semua parti terbabit perlu berjiwa besar dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini dengan melihat kepentingan yang lebih besar iaitu kestabilan negara dan kebahagiaan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, seluruh jentera pilihan raya PAS diminta supaya bersiap sedia sepenuhnya berdepan PRU15 yang akan diadakan dalam tempoh terdekat menanti pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, sebagai sebuah parti, seluruh pimpinan, ahli dan penyokong PAS juga dikehendaki terus menjaga adab dan kesopanan seperti mana diajar Islam.
“Ini termasuk dalam segala hantaran (posting) mahupun artikel di media sosial yang boleh menimbulkan kebencian dan fitnah memfitnah termasuk terhadap lawan politik wajib dielakkan sama sekali.
“Perlu diingat bahawa perlembagaan PAS menetapkan semua ahli-ahli PAS antara lainnya perlu sepanjang masa mengamal akhlak Islam serta sentiasa mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti,” katanya.
Pada 8 Okt lalu, PAS memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan “komitmen” bersama Umno dan Bersatu bagi menghadapi PRU15.
Presidennya, Abdul Hadi Awang, berkata pihaknya berpandangan perlu ada “keanjalan” dalam rundingan antara ketiga-tiga parti.