BN Melaka antara terawal serah nama calon, ketengah muka baharu

BN Melaka antara terawal serah nama calon, ketengah muka baharu

Pengerusinya Ab Rauf Yusoh berkata, semua nama calon telah diserahkan kepada pimpinan pusat untuk saringan dan penilaian.

Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh berkata, setiap bahagian mencadangkan lima nama untuk dinilai oleh pucuk pimpinan bagi menjadi calon pada PRU15. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Barisan Nasional (BN) Melaka menjadi antara negeri terawal menyerahkan nama calon kepada pucuk pimpinan parti itu untuk bertanding bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Ab Rauf Yusoh berkata, setiap bahagian mencadangkan lima nama untuk dinilai oleh pucuk pimpinan dan pihaknya kini hanya menunggu keputusan individu mana layak untuk bertanding kali ini.

“Semua nama calon yang diajukan telah diserahkan secara total kepada pimpinan pusat untuk dibuat saringan dan juga penilaian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas BN Melaka malam tadi.

“Hasil daripada saringan dan penilaian ini, akan dipilih satu yang terbaik (untuk bertanding di Parlimen) daripada lima nama yang telah dicadangkan oleh pihak bahagian.”

Ab Rauf, yang juga ketua Umno negeri berkata, pihaknya menyasarkan untuk menang empat kerusi Parlimen, iaitu Masjid Tanah, Jasin, Tangga Batu dan Alor Gajah, serta turut mengintai peluang di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU kali ini.

Beliau berkata, Umno akan bertanding di empat kerusi Parlimen, iaitu Masjid Tanah, Jasin, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya, manakala MCA di Alor Gajah dan Kota Melaka.

Katanya, BN Melaka mempertaruhkan calon muka baharu bagi pilihan raya kali ini.

Penyandang kerusi Jasin, Ahmad Hamzah tidak bertanding dan sedia memberi laluan kepada calon muda, tambahnya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, pengerusi Umno setiap negeri akan mula mengemukakan nama calon untuk bertanding pada PRU15 di kerusi DUN dan Parlimen masing-masing bermula Isnin lepas.

Melaka tidak membubarkan DUN pada PRU15 kerana baharu selesai melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) November tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.