
MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah iatu di Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling.
“Di Perak iaitu di Hulu Perak, Batang Padang dan Muallim. Manakala di Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman (Sri Aman),” katanya di Facebooknya.
Dalam pada itu, MetMalaysia berkata amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
MetMalaysia juga berkata bagi kategori untuk perairan Malaysia, dimaklumkan amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga Sabtu ini.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.
MetMalaysia juga memaklumkan bagi kategori perkapalan angin kencang dijangka di kawasan perairan timur Condore, Reef North, Layang-Layang sehingga Sabtu ini.
Katanya, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.