
Peguam Persekutuan M Kogilambigai, berkata Jabatan Peguam Negara memerlukan masa untuk mengkaji hujahan bertulis difailkan peguam Najib bagi menyokong permohonan dikemukakan.
“Kami tahu ia memerlukan tindakan segera (sebelum ini untuk mendengar permohonan), namun keperluan itu tidak lagi wujud memandangkan Parlimen sudah dibubarkan,” katanya.
Peguam mewakili Najib, Shafee Abdullah mencadangkan agar permohonan itu didengar pada 14 Okt
Beliau menekankan bahawa ada isu perundangan serius untuk ditentukan mahkamah, termasuk sama ada Najib boleh dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya.
Bekas perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun susulan sabitannya dalam kes SRC International pada Julai 2020, yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan, kemudian Mahkamah Persekutuan, pada Ogos lalu.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid, berkata beliau memberikan tempoh seminggu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyemak hujahan. Beliau turut memerintahkan jabatan itu memfailkan hujahan bertulis sebagai jawapan menjelang Rabu depan.
Najib memfailkan permohonan terbabit minggu lepas, meminta mahkamah mengetepikan keputusan Jabatan Penjara tidak membenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Dewan Rakyat tidak akan bersidang lagi setelah Parlimen dibubarkan pada Isnin.
Najib turut memohon keputusan Jabatan Penjara dibatalkan, berhubung larangan terhadapnya menemui pegawainya bagi tujuan berkaitan Parlimen, perundangan dan kerja kawasan diwakilinya.