Rakyat Sungai Siput gembira, tapi saya serah kepada parti, kata Kesavan

Rakyat Sungai Siput gembira, tapi saya serah kepada parti, kata Kesavan

Penyandang kawasan Parlimen Sungai Siput itu berkata beliau akan mematuhi keputusan Anwar Ibrahim susulan kerusi berkenaan juga diintai MIC dan PSM.

(Dari kiri) S Kesavan dari PKR berkata, beliau sedia mempertahankan Parlimen Sungai Siput sekiranya itu dikehendaki parti. Presiden MIC SA Vigneswaran dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj juga menyatakan hasrat bertanding.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan enggan mengulas sama ada beliau akan mempertahankan kerusi disandangnya, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kawasan Sungai Siput bakal bertukar menjadi “kerusi panas”, dengan dua pimpinan parti membabitkan Presiden MIC SA Vigneswaran dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj, turut mengintai untuk bertanding di kawasan Parlimen itu.

Diminta mengulas saingan sengit di kawasan berkenaan selain sama ada akan bersaing, Kesavan yang juga ahli PKR tidak mahu mengulas lanjut.

“Saya kira pemimpin parti (Anwar Ibrahim) akan memuktamadkan senarai nama calon. Saya tidak boleh mendahului pemimpin parti,” katanya kepada FMT.

“Sebagai penyandang, pengundi gembira dengan khidmat saya. Dan saya berharap parti akan mengambil kira semua. Saya pastinya akan bertanding sekiranya parti kehendaki saya bertanding.

“Akhirnya, presiden parti yang akan memuktamadkan keputusan dan kita mesti menghormatinya. Sekiranya beliau mahu saya bertanding, saya bersedia,” katanya.

Jeyakumar merupakan Ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal dari 2008 hingga 2018. Beliau tumpas kepada Kesavan, pada PRU14.

Jeyakumar menang di kerusi itu pada 2008 selepas menewaskan mendiang S Samy Vellu, yang juga presiden MIC paling lama berkhidmat, selain beliau juga merupakan bekas menteri kerja raya yang menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput, selama lapan penggal, bermula 1974.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU15 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.