
Leftenan kolonel bersara, Ajaya Kumar, ialah seorang daripada tujuh anggota tentera Malaysia dalam pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika referendum berjalan di wilayah berkenaan, sebuah koloni Portugis yang pada ketika itu dikenali sebagai Timor Timur selepas pengilhakan oleh Indonesia.
Ajaya masih mengingati hari beliau menjejakkan kaki di gereja separuh siap di sebuah desa di Covalima, barat daya kepulauan itu.
Masih segar dalam ingatannya, kehadirannya disambut dengan bau busuk mayat hangus. Kebimbangannya akhirnya benar-benar menjadi kenyataan.
Penduduk desa terbabit menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai, dengan tengkorak dan tulang belulang bertaburan dalam gereja. Apa yang dianggapnya karpet merah sebenarnya “banjir darah”.

Walaupun kekal tenang, Ajaya tidak dapat menahan dirundung rasa kecewa.
“Mereka melihat saya sebagai penyelamat. Apa yang saya fikirkan hanyalah senyuman mereka kepada saya,” katanya kepada FMT.
Beliau kemudian mendapat maklumat bahawa pembunuhan tersebut dilakukan oleh militan pro-Indonesia yang secara ganas menentang kemerdekaan Timor Timur.
Mayat yang tidak dibakar dicampak ke laut.
“Cukup menyedihkan. Kali terakhir kami mengunjungi mereka, mereka hanya mahu memberitahu dunia tentang nasib dan kesengsaraan mereka akibat kekejaman militan,” kata Ajaya.
Pembunuhan beramai-ramai di desa itu serta kekejaman yang membelenggu keseluruhan wilayah tercetus pada 1999, selepas penduduk Timor Timur menolak pelan autonomi yang dicadangkan oleh Indonesia.
Militan pro Indonesia bermaharajalela selepas menuduh PBB berbohong mengenai keputusan referendum.
Situasi bertukar ganas sehingga mendorong gabungan ketenteraan antarabangsa membabitkan 22 negara termasuk Malaysia dibentuk dan dihantar ke Timor Timur untuk mengembalikan keamanan dan keselamatan.

Pertemuan tidak dirancang dengan militan
Ajaya mengimbau kembali hari beliau memberanikan diri memandu masuk ke dalam wilayah dikawal militan Laksaur untuk cuba bercakap dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan.
Beliau ada mendengar bahawa Laksaur, serta pasukan militan Mahidi, mengugut penduduk tempatan berhubung rancangan kemerdekaan mereka.
Beliau juga difahamkan bahawa anggota militan digelar “anjing gila” kerana mengambil dadah, yang mendorong mereka menjadi pembunuh tidak berhati perut.
“Ketika saya memandu ke kem Laksaur berseorangan, jantung saya berdegup kencang. Sebaik sahaja turun daripada kereta, ratusan lelaki mengerumuni saya,” katanya.
“Mereka kelihatan sangat bengis sambil membawa parang dan senapang. Saya angkat tangan, ucap ‘selamat sore pak’ dan nyatakan hasrat saya untuk bertemu dengan ketua mereka.”
Ketua mereka kemudiannya tampil, dan Ajaya terkejut apabila diberitahu bahawa beliau ialah wakil PBB pertama yang datang untuk bercakap dengan militan di daerah berkenaan.
Ketua terbabit menghentam PBB, jelas tidak mengalu-alukan kedatangan pertubuhan itu, kata Ajaya.
“Saya tidak berdebat (dengannya), tetapi menjadi pendengar yang baik. Saya rasa lega apabila dia memperkenalkan saya kepada beberapa komandernya.”
Timor Timur mencapai kemerdekaan pada Mei 2002 dan dinamakan semula sebagai Timor-Leste.
Ajaya berada di kepulauan itu selama kira-kira setahun. Beliau kemudiannya bersara daripada angkatan tentera pada 2013.