Lebih ramai calon Melayu akan diketengahkan DAP pada PRU15, kata Loke

Lebih ramai calon Melayu akan diketengahkan DAP pada PRU15, kata Loke

Setiausaha Agung DAP bagaimanapun berkata, peratusan berapa calon yang akan diletakkan masih belum ditentukan kerana masih berunding dengan parti lain dalam Pakatan Harapan.

Loke Siew Fook berkata, DAP parti berbilang kaum, jadi tidak semestinya hanya calon Cina mesti berkhidmat di kawasan majoriti Cina kerana pemimpin Cina dan India juga boleh berkhidmat di kawasan Melayu.
PETALING JAYA:
Lebih ramai calon Melayu akan diketengahkan DAP pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan undi Melayu di kawasan majoriti Melayu dapat diraih, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata, ada banyak potensi wakil Melayu yang boleh diketengahkan pada PRU15 khususnya beberapa pemimpin Melayu di Kedah, Perak, Pahang, Johor dan Selangor yang mampu melakar kejayaan.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menentukan peratusan calon Melayu daripada parti itu yang akan diletakkan sebagai calon PRU-5 kerana masih pada peringkat rundingan bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menentukan jumlah kerusi bakal ditandingi nanti.

“Pada masa sama, kita harus ingat DAP adalah parti berbilang kaum, jadi tidak semestinya hanya calon berbangsa Cina mesti berkhidmat di kawasan majoriti Cina saja kerana pemimpin Cina dan India juga boleh berkhidmat di kawasan Melayu.

“Ini juga sama kepada pemimpin Melayu daripada DAP yang mereka juga boleh berkhidmat di kawasan bukan Melayu, kita mahu lahirkan generasi baharu dalam DAP supaya pemikiran politik kita melambangkan semangat rakyat Malaysia,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat DAP Perlis yang baharu di Jalan Besar dekat Padang Besar hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, beliau juga akan bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu di Parlimen Seremban.

“Saya sendiri turut bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu sebab Parlimen Seremban mempunyai 53% pengundi berbangsa Melayu, jadi di kawasan saya ini tidak semestinya perlu menghantar calon Melayu untuk bertanding,” katanya.

DAP mempunyai beberapa wakil rakyat Melayu termasuk Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; ADUN Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari; ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari; ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusuf; ADUN Ketari, Young Syefura Othman; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid dan ADUN Damansara, Jamaliah Jamaluddin.

Terdahulu, pada majlis sama juga, Loke turut merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perlis Ke-5 yang turut dihadiri 58 perwakilan DAP dari seluruh negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.