
Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail berkata, hasil siasatan mendapati lelaki yang memimpin bacaan doa itu adalah ketua imam di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan dan bacaan doa itu adalah di luar daripada teks doa yang ditetapkan pihak penganjur.
“Justeru tindakan nasihat dan teguran sudah diberikan terhadap pegawai berkenaan. Langkah itu bertujuan mengingatkannya supaya mematuhi garis panduan dan teks doa yang ditentukan oleh pihak Jawi pada masa akan datang.
“Ini kerana Jawi amat mengambil berat terhadap profesionalisme pegawai dalam melaksanakan tugas supaya imej institusi Islam sentiasa terpelihara,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sebelum ini, satu rakaman video yang memaparkan seorang imam membaca doa untuk menambah isteri tular di TikTok dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.
Rakaman video berdurasi 44 saat itu menunjukkan lelaki itu secara berseloroh berdoa memohon diberikan rezeki yang mencurah bagi melayari bahtera kehidupan dan membolehkan menambah isteri lebih daripada seorang.
Lelaki itu turut memberitahu, yang paling ramai berpoligami adalah dalam kalangan kakitangan Jawi.
Bagaimanapun, video itu mendapat reaksi kurang senang warganet yang menganggap poligami sebagai isu sensitif.