
The Times of India melaporkan, Lembaga Perisikan Pendapatan (DRI) menahan dua lelaki dikenali sebagai Victor Lobo, 36, dan Immanvel Raja, 36, dan merampas haiwan yang berharga kira-kira Rs2.98 crores (RM1.67 juta) semalam.
Menurut laporan itu, DRI dilaporkan menerima maklumat mengenai satu penghantaran mengandungi haiwan eksotik hidup yang diisytihar sebagai ikan perhiasan yang tiba dari Malaysia di Kompleks Kargo Udara di Sahar.
Apabila anggota DRI tiba di kompleks berkenaan, penghantaran itu sudah melepasi pemeriksaan kastam dan sudah dibawa oleh Raja.
Bagaimanapun, anggota DRI berjaya mengesan kenderaan yang dibawa lelaki itu sebelum menahannya.
Pemeriksaan mendapati kenderaan itu menemui 13 bungkusan yang mengandungi sejumlah 665 pelbagai jenis reptilia seperti kura-kura, tuntung, ular sawa, cicak dan iguana.
Daripada jumlah itu, 548 reptilia itu masih hidup dan selebihnya sudah mati.
Ketika soal-siasat kedua-dua lelaki berkenaan memberitahu mereka mendapat arahan daripada seorang lelaki dikenali sebagai David Lu untuk menyerahkan penghantaran itu kepada seorang lagi lelaki.
Menurut laporan itu lagi, semua reptilia berkenaan termasuk dalam senarai haiwan terancam dan dilarang diimport dari mana-mana negara.