
Hasni berkata, senarai calon yang dicadangkan berkenaan sudah dihantar kepada jawatankuasa khas di ibu pejabat parti dan beliau akan mengumumkannya sejurus Parlimen dibubarkan.
“Saya rasa tentu ada kejutan nanti (senarai calon Parlimen Johor) kerana sebanyak 60% daripada nama yang dikemukakan adalah muka baharu. Sudah tentu akan berlaku kejutan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Wanita Umno Bahagian Pontian yang turut dihadiri setiausaha agung Umno merangkap timbalan ketua Umno bahagian itu, Ahmad Maslan.
Menurut laporan itu lagi, bekas menteri besar dan pengerusi Umno Johor itu juga enggan mengesahkan khabar angin bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen Pontian yang disandang Ahmad.
“Pertamanya, perlu memahami konteks kenapa saya bertanding di Parlimen. Ia adalah kenyataan dibuat pucuk pimpinan sewaktu selesai pilihan raya negeri (PRN) Johor tempoh hari.
“Di mana saya bertanding atau siapa bertanding di Pontian, ia akan melalui proses yang sama juga, iaitu ia perlu dibentangkan kepada jawatankuasa khas dahulu,” katanya yang juga ketua Umno Pontian.
Sementara itu, Hasni berkata, BN Johor mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi 16 hingga 20 kerusi Parlimen negeri itu PRU15 nanti.
“Peluang untuk kita (BN Johor) menang antara 16 hingga 20 kerusi itu cerah dengan senarai dikemukakan bahagian-bahagian. Bahagian tidak hanya kemukakan nama calon mengikut jawatan di bahagian, namun turut kenal pasti dan senaraikan tokoh-tokoh.
“Senarai itu bukan hanya dalam kalangan pemegang jawatan, tetapi juga ahli Umno secara keseluruhan di bahagian. Jadi peluang kita untuk capai kemenangan di 16 hingga 20 kerusi Parlimen daripada 26 kerusi yang ada bukan mustahil,” katanya.
Pada 17 Ogos lalu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan dilapor meletakkan sasaran untuk gabungan itu memenangi 20 kerusi Parlimen di Johor pada PRU15 nanti, sekali gus menjadi penyumbang utama kerusi bagi menubuhkan kerajaan pusat yang kukuh.