Wanita kembali bekerja perlu penjagaan anak, bukan pelepasan cukai, Yeoh beritahu kerajaan

Wanita kembali bekerja perlu penjagaan anak, bukan pelepasan cukai, Yeoh beritahu kerajaan

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, cadangan pengecualian cukai itu mencerminkan kurangnya pemahaman kerajaan tentang mengapa wanita tidak bekerja.

Wanita akan sanggup bekerja semula jika keperluan keluarga mereka terjaga. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pelepasan cukai tidak cukup untuk menarik wanita menyertai semula tenaga kerja, kata Hannah Yeoh.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, cadangan pengecualian cukai pendapatan dari 2023 hingga 2028 untuk wanita yang kembali bekerja selepas “cuti kerjaya” mencerminkan kurangnya pemahaman kerajaan tentang mengapa wanita tidak bekerja.

“Wanita tidak bekerja kerana ketiadaan penjagaan kanak-kanak atau sokongan untuk orang tua di rumah,” kata bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu.

Dalam pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz juga berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif untuk majikan yang mengambil wanita kembali bekerja.

Hannah Yeoh.

Bawah inisiatif ini, majikan akan diberikan sehingga RM750 sebulan selama tiga bulan bagi setiap pekerja.

Mengenai RM8 juta yang diperuntukkan untuk pusat sokongan sosial bagi menangani isu kesihatan mental dan kes keganasan rumah tangga, Yeoh berkata, terdapat inisiatif yang sama pada masa lalu namun tiada maklumat mencukupi mengenai pelaksanaannya.

“Tiada siapa yang tahu mengenai pelaksanaannya atau bagaimana untuk mengaksesnya. Kadang-kadang, sehingga menjelang Ogos atau September tahun (peruntukan belanjawan) itu, orang ramai masih tidak tahu cara untuk mengakses manfaat ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin mahu pusat sokongan sosial sebegini turut menyediakan perkhidmatan bagi warga emas dan kanak-kanak yang dianiaya.

Maria Chin.

Memetik pengalamannya mengendalikan kanak-kanak yang dianiaya, Ahli Parlimen PKR itu berkata, ada kalanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak dapat menempatkan kanak-kanak itu di pusat perlindungan kerana tiada kekosongan.

“Kita perlu lebih banyak pusat perlindungan,” katanya sambil menambah, tidak jelas sama ada belanjawan itu menyediakan peruntukan bagi menangani isu sosial seperti buli siber dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Irene Xavier.

Irene Xavier daripada Persatuan Sahabat Wanita Selangor mengalu-alukan penubuhan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi kerajaan tetapi mengingatkan bahawa ahli pasukan mesti mempunyai pemahaman yang betul tentang diskriminasi jantina.

Xavier mendakwa Putrajaya masih tidak jelas mengenai konsep anti-diskriminasi seperti imbuhan sama rata untuk kerja yang sama nilai.

“Mereka tidak tahu bagaimana untuk (mengiktiraf) bahawa wanita tidak bermula di ‘padang’ yang sama rata,” katanya.

Justeru, penting untuk pasukan ini diberi latihan, tambahnya.

Penubuhan pasukan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Julai dan disebut semula oleh Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2023.

Ismail berkata, pasukan ini akan meneroka potensi wanita dalam ekonomi dan melibatkan mereka dalam perancangan dan pelaksanaan dasar, dengan tujuh ahli dalam setiap pasukan untuk melaksanakan inisiatif bagi mencapai kesaksamaan gender.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.