
Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata, tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala dua PPS di Kluang, Johor sudah ditutup semalam dan 8 pagi tadi.
Pemantauan pihak bomba semalam mendapati paras air di sungai-sungai terbabit berada pada tahap normal, lapor Berita Harian.
“JBPM juga sudah menghantar laporan kepada pasukan petugas banjir memaklumkan kenaikan air di sungai itu hanya bersifat sementara.
“Setakat ini, tidak berlaku banjir dan tiada penduduk yang dipindahkan ke PPS,” kata Hamdan.
Semalam, media melaporkan bahawa sungai-sungai utama di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor mencatatkan trend peningkatan paras air selepas hujan lebat sejak petang.
Setakat 10.40 malam tadi, dua sungai di Negeri Sembilan diletakkan pada peringkat amaran, iaitu Sungai Linggi di Kampung Mantau, Seremban pada paras 34.49m, dan Sungai Jimah di Pekan Linggi, Port Dickson pada 8.78m melebihi paras amaran.