Pemimpin DAP ‘kunci mulut’ selepas Ronnie kata akan keluar parti

Pemimpin DAP ‘kunci mulut’ selepas Ronnie kata akan keluar parti

Liu berkata beliau 'tiada pilihan' selain meninggalkan parti selepas menjadi ahli selama 40 tahun dan akan memberikan alasan pengundurannya tidak lama lagi.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat Ronnie Liu, berkata beliau memutuskan untuk meninggalkan parti itu baru-baru ini dan akan menjelaskan tindakannya itu tidak lama lagi.
PETALING JAYA:
ADUN veteran DAP Ronnie Liu, berkata beliau “tiada pilihan” dan akan segera keluar parti selepas menjadi ahli selama 40 tahun.

Pimpinan tertinggi DAP antaranya Setiausaha Agung Anthony Loke dan Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng, tidak memberi sebarang komen apabila ditanya mengenai tindakan Liu yang akan keluar parti.

Liu memberitahu FMT bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan tindakannya keluar parti.

“Saya hanya memutuskan tindakan ini baru-baru ini. Saya sedang menyediakan kenyataan ketika ini dan kamu akan mengetahuinya tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi.

Liu ialah Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat dan ADUN Sungai Pelek Selangor selama dua penggal.

Liu berkata, beliau telah bersama DAP sejak 1982 dan telah mengasaskan cawangan DAP Sungei Way-Subang.

Beliau baru-baru ini menjadi tajuk utama berikutan tindakannya mengkritik pindaan perlembagaan DAP yang membenarkan seseorang ahli dipecat kerana tidak mengikut keputusan parti.

“Tuhan selamatkan DAP,” tulisnya dalam catatan di Facebook pada 26 Sept selepas mengatakan parti itu tidak lagi demokratik dengan menerima pakai pindaan itu.

Liu berkata, beliau akan disingkirkan daripada parti sekiranya pindaan itu dilaksanakan, apabila lantang mengkritik pelbagai isu, seperti kepimpinan Dr Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan memerintah, penahanan 12 individu kerana didakwa ada kaitan dengan LTTE dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu sekolah persendirian Cina.

Katanya, hanya Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) boleh menyelamatkan parti daripada “menjadi entiti yang tidak demokratik”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.