E-panggilan bukan penyelesaian bagi belia cari rezeki, kata aktivis

E-panggilan bukan penyelesaian bagi belia cari rezeki, kata aktivis

Kerajaan sebaliknya patut menangani punca pengangguran, kata mereka.

Bajet 2023 yang diumumkan semalam termasuk inisiatif seperti kerajaan menanggung kos untuk belia mendapatkan lesen teksi, bas dan e-panggilan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Inisiatif belanjawan yang bertujuan membantu golongan belia mencari rezeki melalui e-panggilan bukanlah penyelesaian kepada masalah pengangguran, kata seorang ketua kumpulan belia.

Pengasas bersama dan pengarah pendidikan Undi18 Qyira Yusri tidak menganggap e-panggilan sebagai penyelesaian untuk membantu golongan belia mencari rezeki.

“Apa akan jadi jika suatu hari nanti, mereka memutuskan untuk tidak lagi (bekerja dalam e-panggilan)?” soalnya?

Bajet 2023 yang diumumkan semalam termasuk inisiatif seperti kerajaan menanggung kos untuk belia mendapatkan lesen teksi, bas dan e-panggilan, serta skim RM50 juta bagi peniaga muda.

Menurut Qyira, membimbangkan apabila kerajaan bertindak menggalakkan belia memulakan perniagaan, berbanding menangani punca pengangguran.

Belanjawan itu, katanya, tidak memperuntukkan sebarang dana untuk inisiatif pendidikan pengundi walaupun terdapat spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak lama lagi.

“Kerajaan tidak mengutamakan suruhanjaya pilihan raya atau program Akademi Pilihan Raya, yang menunjukkan mereka tidak berminat untuk menyiapkan golongan belia bagi PRU15,” katanya.

Penyelaras Arus Anak Muda Amelia Zainabila berkata, isu perlindungan pekerja gig masih belum ditangani.

“Ekosistem semasa masih tidak kondusif bagi pekerja, dan kini kita ada anak muda yang tidak berpengalaman masuk ke dalam sistem sebegitu,” katanya.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebelum ini mengusulkan undang-undang bagi mengawal selia pekerja gig, yang hanya mendapat perlindungan sosial menerusi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.